Tidak wajar sekat projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru

Sidang akhbar oleh PKPHKSB dan pemaju memohon projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru dipermudahkan.
Sidang akhbar oleh PKPHKSB dan pemaju memohon projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru dipermudahkan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini tidak seharusnya disekat kerana tanah itu telah diwartakan dan 89 peratus penduduk terlibat telah menurunkan tandatangan setuju bagi projek pembangunan semula kawasan tersebut.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru (PKPHKSB), Zulfakar Wahid berkata, tidak wajar projek itu ditangguhkan lagi hanya disebabkan 11 peratus atau 37 pemilik rumah teres yang mewakili kumpulan minoriti membantah proses pengambilan tanah tersebut.

Menurutnya, penduduk berharap projek tersebut dapat dilaksanakan bagi membolehkan mereka yang telah mengosongkan unit sejak lima tahun lalu dapat kembali semula ke rumah baharu di Kampung Sungai Baru.

"Pewartaan diperoleh sejak Jun 2021, kerajaan yang luluskan warta ini jadi sepatutnya kerajaan tak perlu sekat. Kami persatuan tidak cakap banyak kerana perundangan memihak kepada kita, kerana kita sudah ada majoriti dan ada warta (ambil tanah).

"Tiada benda yang mahu dibangkitkan lagi. Jika perundangan tersebut pun kita tak boleh nak ikut, apa lagi yang boleh dibuat," katanya pada sidang akhbar bersama pemaju, Ritzy Glosss Sdn Bhd pada Selasa.

Katanya, PKPHKSB berharap Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dapat membantu menyelesaikan isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru itu bagi membolehkan hasrat mereka berpindah ke rumah baharu terlaksana.

"Beliau (Shahidan) yang ada kuasa tentukan projek ini boleh dijalankan atau sebaliknya. Kita rasa tak patut, hanya disebabkan 37 pemilik yang tidak setuju, 291 yang setuju berdepan masalah penangguhan projek.

"Harap Menteri Wilayah Persekutuan boleh bantu fikirkan cara supaya projek ini dapat dijalankan. Ada antara orang lama dah meninggal dunia, saya kecewa, patut perkara ini boleh diselesaikan dalam masa tiga tahun tapi sekarang sudah masuk tahun kelima, malangnya isu sama tidak selesai lagi.

"Kami harap dapat pulang semula ke Kampung Sungai Baru, yang melambatkan projek bukan pemaju tetapi orang yang tidak setuju, libatkan 37 pemilik unit yang belum terima pendengaran kedua," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap ahli politik terutama bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad tidak perlu campur tangan urusan pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru kerana tidak mempunyai kuasa dan hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

Sementara itu, Pengarah Ritzy Gloss Sdn Bhd, Abdul Hadi Ahmad berkata, sepatutnya projek tersebut sudah tiada halangan kerana telah melalui proses perundangan yang ditetapkan berdasarkan mendapat persetujuan majoriti dan pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

"Saya masuk ke Kampung Sungai Baru pada 2016 dan sepatutnya projek sudah boleh mula tiga tahun lalu. Saya target projek patut mula pada 18 bulan hingga ke tiga tahun sahaja tapi sekarang sudah masuk enam tahun tetapi masalah belum lagi selesai.

"Projek sudah hampir berjaya dilaksanakan dan hanya 11 peratus yang masih belum setuju. Sekarang saya serahkan semula kepada penduduk untuk tentukan sama ada mahu meneruskan lagi projek ini atau tidak.

"Kalau tunggu terlalu lama, saya pun tidak boleh bertahan kerana perlu mengeluarkan kos setiap hari bagi bayaran sewa rumah transit dan kos tambahan lain," katanya.

Beliau berharap, semua pihak memberikan kerjasama bagi menjayakan projek tersebut kerana hasrat pembangunan semula kawasan tersebut bagi tujuan meningkatkan taraf hidup penduduk dan meningkatkan nilai hartanah di kawasan itu.

Pada Ahad, penduduk yang membantah pembangunan semula projek Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini menggesa campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menghentikan pihak pemaju daripada mengambil tanah mereka.

Seorang Ahli Jawatankuasa Bertindak Kampung Sungai Baru, Muhammad Asyraf turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap nilai pampasan sama yang diberikan sebelum ini, iaitu sebanyak RM1,500 kepada penduduk ketika mesyuarat libat urus pada awal Jun lalu.

Selain itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam turut berada pada sidang akhbar tersebut, memberitahu pihaknya Khalid akan membuat laporan polis dan menghantar surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat kerana mendakwa ada isu rasuah dalam kes tersebut.