Rakyat bimbang aktiviti penyeludupan meningkat

Kompleks Imigresen,Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah. Gambar kecil dari kiri: Roslina, Azman, Zainuddin
Kompleks Imigresen,Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah. Gambar kecil dari kiri: Roslina, Azman, Zainuddin
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM – Keputusan kerajaan Thailand membenarkan penduduknya menanam ganja di rumah dikhuatiri mendorong aktiviti penyeludupan dadah menjadi rancak di Malaysia.

Hasil tinjauan dilakukan Sinar Harian mendapati, penduduk terkejut dengan tindakan pemerintah negara gajah putih tersebut sekali gus berharap kawalan di sempadan negara diperketatkan bagi mematahkan cubaan sebarang aktiviti penyeludupan.

Seorang rakyat Malaysia, Roslina Zainol, 53, berkata, dia kurang bersetuju dengan keputusan terbabit memandangkan dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada semua pihak.

“Sepanjang tempoh larangan penanaman ganja pun, ramai anak muda sudah rosak.

“Dengan keputusan Thailand itu, dibimbangi keadaan lebih parah memandangkan bahan terbabit akan mudah didapati.

“Dengan mudah sahaja rakyat Malaysia boleh beli atau ambil ambil bahan itu,” katanya.

Pemandu teksi, Azman Shariff, 48, berkata, dia bimbang anak muda mempunyai akses mendapatkan ganja selepas ini.

“Sebagai seorang rakyat Malaysia yang prihatin, saya minta pintu sempadan dan kawalan diperketatkan,” katanya.

Azman juga berharap semua agensi berkaitan misalnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetatkan kawalan bagi mematahkan cubaan membawa masuk barang terlarang tersebut.

Seorang lagi pemandu teksi, Zainuddin Zakaria, 47, menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk kawalan sempadan memandangkan ganja diharamkan di Malaysia.

“Kawalan ketat itu terletak pada pihak berkuasa seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, PDRM dan tentera memandangkan mereka menjaga sempadan.

“Sebagai rakyat yang tinggal bersempadan dengan Thailand, keselamatan kita masih terjaga. Namun, perlu waspada kerana mungkin ada penumpang ambil kesempatan membawa dadah,” katanya.