Ops Noda: 102 GRO warga asing diberkas

Abd Jalil
Abd Jalil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 102 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) diberkas dalam Op Noda di beberapa pusat hiburan seluruh negara pada Ahad.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kesemua wanita yang ditahan itu berusia 18 hingga 35 tahun.

"Seramai 61 individu tempatan berusia 20 hingga 55 tahun yang merupakan pemilik premis, pengurus, penjaga kaunter dan pekerja di pusat hiburan berkenaan turut ditahan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Abd Jalil berkata, semasa operasi dijalankan, pusat hiburan karaoke, bar, pub dan bistro didapati menyediakan bilik karaoke pelbagai saiz dengan kadar bayaran tertentu bermula RM8,000 dan boleh mencecah sehingga RM30,000 mengikut pakej ditawarkan.

"Premis terbabit turut menawarkan perkhidmatan GRO warga asing atas permintaan pelanggan dengan kadar bayaran yang ditetapkan.

"Bagi mengaburi pihak berkuasa, pelanggan tetap akan menggunakan laluan rahsia iaitu pintu di bahagian belakang premis untuk pergerakan keluar dan masuk selepas tamat waktu operasi dibenarkan," katanya.

Abd Jalil berkata, pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas 1,133 orang pekerja dan pelanggan bagi mengesan lain-lain kesalahan jenayah serta penglibatan dalam kumpulan kongsi gelap, gangsterisme dan thug gang.

"Semakan melalui sistem atas talian rekod jenayah mendapati dua pelanggan berada dalam senarai dikehendaki atas kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas 44 lesen perniagaan, 27 alat pembesar suara, 22 mikrofon, 16 buah amplifier, 85 botol minuman keras pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM12,885.

"Kesemua tangkapan dan hasil rampasan dibawa ke ibu pejabat polis daerah berhampiran untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, semua pengusaha pusat hiburan digesa sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) fasa peralihan endemik Covid-19 ditetapkan.

"Orang ramai juga diminta supaya tidak mengunjungi pusat hiburan di luar waktu yang dibenarkan agar tidak dikenakan tindakan undang - undang," ujarnya.