Pejuang bantah kerajaan Perak lombong lantanid

Laporan Sinar Harian 23 Mei lalu.
Laporan Sinar Harian 23 Mei lalu.
A
A
A

IPOH - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Perak membantah keputusan kerajaan negeri untuk meneruskan projek perlombongan nadir bumi, lantanid di kawasan Hulu Perak.

Ketua Pejuang Perak, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, pihaknya khuatir dengan kaedah perlombongan yang mahu digunapakai oleh syarikat usahasama dari negara China itu kerana dibimbangi memberi kesan kepada alam sekitar.

Menurutnya, sebarang keputusan untuk meneruskan projek perlombongan itu perlu mengambil kira pandangan dan kajian yang mendalam oleh pertubuhan bukan kerajaan, pakar dalam bidang pemuliharaan alam sekitar serta pakar kesihatan awam terlebih dahulu.

"Kita minta kerajaan negeri perjelas kaedah perlombongan yang akan digunakan. Dikatakan bahawa kerajaan Negara China pada Jun 2011 telah menguatkuasakan pengharaman perlombongan permukaan dan melarutserapkan dalam tangki atau timbunan ketika melaksanakan pelarutserapan bagi nadir bumi ini. Kaedah melombong yang tidak mesra alam dan selamat ini dikatakan boleh memberikan implikasi teruk terhadap kesan dampak alam sekitar.

"Menteri Besar Perak seakan-akan tidak peduli dan tidak mengendahkan pandangan daripada mereka yang pakar dalam isu alam sekitar ini. Pejuang Perak juga mempersoalkan bagaimana operasi perlombongan boleh dimulakan sebelum laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) di luluskan?" katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mior Nor Haidir
Mior Nor Haidir

Sehubungan itu, Mior Nor Haidir meminta kerajaan negeri memberikan penjelasan sama ada kaedah perlombongan yang dilakukan itu selamat dan tidak memberikan kesan alam sekitar serta rakyat atau sebaliknya.

Menurutnya, Pejuang Perak akan menentang sekeras-kerasnya sebarang keputusan kerajaan negeri yang mengancam keselamatan dan kesihatan rakyat Perak.

Pada 11 Jun lalu, kerajaan Perak menafikan sudah memberi 'lampu hijau' kepada aktiviti perlombongan mineral nadir bumi, lantanid di kawasan Gerik daerah Hulu Perak sepertimana didakwa sesetengah pihak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerja-kerja melombong di kawasan itu belum dimulakan kerana masih dalam peringkat permohonan kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa.