'Kerja melombong lantanid belum dimulakan' - MB Perak

Sinar Harian pada Isnin melaporkan kerajaan Perak mengesahkan penemuan mineral baharu iaitu lantanid di kawasan Hulu Perak selain bijih timah.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan kerajaan Perak mengesahkan penemuan mineral baharu iaitu lantanid di kawasan Hulu Perak selain bijih timah.
A
A
A

IPOH - Kerja-kerja melombong mineral baharu yang ditemui di kawasan Hulu Perak masih belum dimulakan walaupun mendapat surat kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA), kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, terdapat beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi termasuk Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Penilaian Impak Sosial (SIA), untuk mendapatkan kebenaran merancang.

Menurutnya, semua kelulusan itu perlu diperoleh sebelum eksplorasi mineral tersebut dilakukan di kawasan seluas 86.4 hektar itu.

"Apabila terima kelulusan EIA bukan boleh terus melombong.

Ada lagi proses perlu dilakukan sebelum projek rintis ini dapat dimulakan oleh syarikat bertanggungjawab dengan menggunakan kaedah yang tidak memberikan pencemaran kepada alam.

"Kita faham ada beberapa pandangan tentang kesan kepada alam sekitar tapi kerajaan negeri ada tanggungjawab bagaimana untuk menggunakan anugerah ALLAH ini sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Negeri Perak dan Pelancaran Duta Komuniti Keluarga Malaysia Negeri Perak Tahun 2022 di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini, pada Rabu.

Saarani (empat dari kiri) menyempurnakan Pelancaran Duta Komuniti Keluarga Malaysia Negeri Perak Tahun 2022 di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini, pada Rabu.
Saarani (empat dari kiri) menyempurnakan Pelancaran Duta Komuniti Keluarga Malaysia Negeri Perak Tahun 2022 di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Saarani berkata, pihaknya menghormati pandangan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin terhadap permasalahan alam sekitar berhubung usaha mendapatkan mineral tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab untuk meningkatkan hasil negeri bukan sekadar memelihara alam sekitar semata-mata.

"ALLAH berikan kepada kita hasil bumi untuk digunakan bersama.

Tak boleh sehingga merosakkan kehidupan alam, sebab itu mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan dan dipersetujui serta pada waktu yang sama menjaga alam sekitar.

"Saya faham perasaan NGO yang prihatin ini tetapi mereka pun kena faham perasaan kita," katanya.

Pada 23 Mei lalu, Saarani mengesahkan penemuan mineral baharu iaitu lantanid di kawasan Hulu Perak selain bijih timah.

Beliau berkata, penemuan tersebut diperoleh ketika kerja-kerja mengekstrak bijih timah di kawasan tersebut yang dikenal pasti cukup bernilai.