Syarikat, individu berjaya digalak ‘menyumbang’

Mohamad (dua dari kiri) menerima cek Yayasan Al-Ahmadi yang disampaikan oleh wakil Persatuan Keluarga Al-Ahmadi di UPM di sini pada Jumaat
Mohamad (dua dari kiri) menerima cek Yayasan Al-Ahmadi yang disampaikan oleh wakil Persatuan Keluarga Al-Ahmadi di UPM di sini pada Jumaat
A
A
A

SERDANG - Syarikat atau individu berjaya di negara ini digalak untuk mengamalkan budaya ‘menyumbang’ bagi membolehkan lebih ramai golongan memerlukan dibantu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini kerana budaya itu dilihat masih lagi kurang diamalkan di Malaysia.

“Budaya menyumbang adalah satu kaedah yang semakin berkembang (dan) kalau negara-negara (maju) seperti Yayasan Bill Gates antara yayasan yang cukup hebat dari segi jumlah (kewangannya) dan Elon Musk juga mempunyai kewangan yang besar untuk membantu atau menggerakkan kajian dan program CSR.

“Jadi kalau kita tengok negara maju, universiti-universiti banyak bergantung kepada derma daripada penyumbang iaitu budaya di beberapa buah negara maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran Yayasan Al-Ahmadi dan Syarahan Perdana ‘Yayasan dan Wawasan ke arah Kemuafakatan Keluarga’ di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini pada Ahad.

Tetamu kenamaan bergambar bersama tetamu yang hadir pada pelancaran Yayasan Al-Ahmadi di UPM di sini pada Ahad.
Tetamu kenamaan bergambar bersama tetamu yang hadir pada pelancaran Yayasan Al-Ahmadi di UPM di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, terdapat universiti di negara ini yang cuba mengamalkan budaya berkenaan dengan cuba mendapatkan sumbangan daripada dermawan tetapi masih belum mencapai tahap yang diingini.

Katanya, belum ada universiti awam di negeri ini yang mampu berdikari atas kaki sendiri tanpa bantuan kerajaan.

“Umumnya universiti bergantung 70 peratus daripada sumber pembiayaan kerajaan dan 30 daripada sumbangan lain,” katanya.

Justeru katanya, budaya ‘menyumbang’ oleh syarikat atau individu berjaya ini perlu digalakkan dengan lebih serius.

“Pada pandangan saya inilah budaya (menyumbang) yang perlu kita sebarkan. Ada kemajuan (dalam budaya menyumbang) dan kita harap lebih ramai yang tampil ke depan untuk berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Al-Ahmadi, Mohamad Nor Ibrahim Al-Ahmadi berkata, yayasan yang mendapat kelulusan korporat pada November tahun lalu bertekad untuk memainkan peranan sebaiknya.

Jelasnya, antara objektif penubuhan yayasan itu adalah untuk menjadi satu badan kebajikan bagi membantu keluarga miskin khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, ekonomi serta meningkatkan silaturahim dalam kalangan keluarga.

“Yayasan Al-Ahmadi ditubuhkan sealiran dengan konsep Rahmatan Lil’ alamin dalam melangkah ke hadapan untuk mencapai matlamat, yang mana fokusnya tetap kekal dalam memberikan manfaat kepada keluarga miskin,” katanya.