Tiada perbincangan tukar MB Negeri Sembilan: Speaker DUN

Dari kiri: Zulkefly, Aminuddin
Dari kiri: Zulkefly, Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Tiada perbincangan untuk menukar Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, ketika ini berikutan tumpuan utama kini adalah kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar berkata, dalam keadaan sekarang tiada maklumat ura-ura untuk berbuat demikian.

"... Ura-ura itu orang yang cakap, kita tak ada bincang apa-apa pun. Kita tumpu kepada kerja pilihan raya, masalah dalam politik itu biasalah.

"Pandangan orang ini berbeza, jadi tak apalah. Lagipun nak tukar Menteri Besar atau sesuatu bukannya mengambil masa yang singkat. Sekejap-sekejap tu nak tukar... tak boleh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu beliau turut memberitahu, PRU15 dijangka dilaksanakan sekitar September atau Oktober ini.

"Ini jangkaan Datuk Speakerlah... maka saya nasihatkan semua jentera (parti) diminta siap sedia untuk hadapi PRU15, Parlimen dibubarkan," katanya.

Pada Sabtu, sebuah portal berita mendakwa akan ada perubahan berlaku di Negeri Sembilan yang ketika ini Aminuddin berdepan dengan pemilihan semula dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.

Menerusi laporan sama, sebelum ini, tujuh daripada lapan cabang menyokong Aminuddin dari kem Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli namun pada saat-saat akhir, tiga daripada cabang itu menarik balik sokongan terhadap beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Jika berlaku beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menarik sokongan, ada kemungkinan rakyat akan dapat Menteri Besar yang baharu di Negeri Sembilan.