DBKL nafi lantik pemaju tukar tiang lampu bernilai RM30.75 juta

Tangkap layar kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng tentang dakwaan kontrak RM30.75 juta untuk menggantikan 200 tiang lampu di Lembah Klang yang tular di lama sosial.
Tangkap layar kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng tentang dakwaan kontrak RM30.75 juta untuk menggantikan 200 tiang lampu di Lembah Klang yang tular di lama sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak melantik syarikat Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) melakukan kerja bagi agensi tersebut.

Unit Media DBKL menerusi satu kenyataan memberikan respon berhubung kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng tentang dakwaan kontrak RM30.75 juta untuk menggantikan 200 tiang lampu di Lembah Klang.

Menurutnya, pihak DBKL tidak pernah melantik SCIB atau mana-mana anak syarikatnya atau memberikan kebenaran kepada pihak lain untuk melantik SCIB bagi melaksanakan kerja perkhidmatan kejuruteraan untuk penggantian tiang lampu pintar bersepadu DBKL bagi pihaknya.

"Setakat ini, DBKL melantik 29 syarikat panel yang mempunyai lesen network facilities provider (NFP) secara berperingkat sejak tahun 2013 bagi melaksanakan penggantian tiang lampu sedia ada kepada tiang lampu berintegrasi sistem pemancar telekomunikasi (dwifungsi) di sekitar Kuala Lumpur.

"Segala kos penggantian tiang lampu ini ditanggung sepenuhnya oleh syarikat panel tersebut.

"Apa-apa nilai kontrak atau kuantiti yang dinyatakan oleh pihak SCIB adalah di luar pengetahuan DBKL," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Unit Media DBKL memaklumkan pembinaan tiang lampu dwifungsi adalah untuk meningkatkan perkhidmatan telekomunikasi di Kuala Lumpur kepada rangkaian 5G.

Ujarnya, pembinaan infrastruktur tersebut selaras dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan projek tersebut secepat mungkin.

"Tiang lampu dwifungsi tersebut merupakan tiang lampu jalan yang diintegrasikan dengan pemancar telekomunikasi.

"Tujuan utama ia dibina adalah untuk meningkatkan kualiti dan liputan perkhidmatan komunikasi tanpa wayar seterusnya pengguna di Kuala Lumpur dapat menikmati kemudahan perkhidmatan 5G yang terbaik," katanya.

Pada Sabtu, sebuah portal berita melaporkan tentang kontrak RM30.75 juta yang diberikan oleh DBKL kepada sebuah syarikat untuk menggantikan 200 tiang lampu di Lembah Klang.

Lip Eng berkata, kos tersebut terlalu mahal dan meminta DBKL bersikap telus untuk mendedahkan butiran kerja yang terlibat dan penetapan harga.