ADUN Kukusan nafi 'dibeli' keluar Warisan

Rina Jainal
Rina Jainal
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal tampil menafikan bahawa beliau 'dibeli' untuk keluar daripada Parti Warisan (Warisan).

Sebaliknya, beliau memaklumkan keputusannya itu adalah demi mengutamakan rakyat berikutan pelbagai kekangan yang dihadapi ketika memberi khidmat sebagai ADUN pembangkang sebelum ini.

"Jika ada yang membuat tuduhan liar kononnya saya dibeli, dibayar atau diberikan imbuhan, itu pandangan mereka. Saya tidak boleh menutup mulut semua orang.

"Saya telah membuktikan, saya masuk Warisan sejak awal perjuangan parti di Kalabakan sebagai penaja. Saya juga membuktikan saya turut turun padang, naik dari rumah ke rumah penduduk sejak sebelum dipilih menjadi calon lagi demi berkempen memperkenalkan Warisan di Kalabakan.

"Malah selepas dipilih menjadi calon dan menang, dua tahun saya membuktikan turun padang memberi perkhidmatan kepada rakyat sebagai ADUN pembangkang. Jika mahukan imbuhan sudah lama saya keluar Warisan dan menerima pelawaan daripada parti-parti besar sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada malam Sabtu.

Tambah Rina lagi, sebagai ADUN yang baharu setahun jagung dan terus berada di blok pembangkang, ia bukan laluan mudah untuknya.

"Namun, ia bukan juga menjadi masalah besar yang perlu dirunsingkan kerana penglibatan saya dalam kancah politik juga bermula sebagai pembangkang.

"Bagaimanapun, daripada sehari ke sehari, saya menyedari tanggungjawab ke atas rakyat tetap perlu menjadi keutamaan tidak kira apa juga status sama ada kerajaan mahu pun pembangkang," katanya.

Menurut Rina, biarpun beliau sering turun padang berjumpa penduduk di Kukusan malah sehingga ke Pulau Sebatik, Merotai, Kalabakan dan sebagainya, ia tetap terasa kosong apabila banyak keperluan rakyat sukar dipenuhi akibat kekangan yang ada.

"Terasa ralat apabila melihat permohonan bantuan, pembinaan infrastruktur dan banyak lagi tidak dapat dilakukan walaupun sudah hampir dua tahun saya mendapat mandat sebagai wakil rakyat.

"Puas diusahakan termasuk permohonan di agensi kerajaan dan kenalan, tetap ada juga yang terpaksa 'diabaikan' kerana kekangan yang ada," katanya.

Sehubungan itu, Rina berkata, keputusannya keluar daripada Warisan bukan dibuat pada waktu yang singkat malah turut mendapat pandangan daripada pelbagai pihak.

"Ini kerana kesannya bukan dirasai saya sendiri sahaja, sudah tentu ia turut membabitkan orang-orang yang menyokong saya khususnya dalam Warisan Kalabakan.

"Selepas puas membuat pertimbangan, saya menetapkan bahawa perkhidmatan kepada rakyat perlu diutamakan. Malah, Presiden Warisan (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) sendiri pernah berkata, rakan sekutu terbaik bagi ahli politik atau parti adalah rakyat.

"Ketika ini, keutamaan saya adalah memberi perkhidmatan kepada rakyat tempatan khususnya dalam memperjuangkan hak rakyat Sabah sama ada termaktub atau tidak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.