Francais bukan perniagaan 'kayangan', tarik ramai siswa

Rosol (tengah) menyampaikan sijil kepada pempamer franchise dalam Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Johor di Angsana Mall Johor Bahru, Johor Bahru, pada Sabtu
Rosol (tengah) menyampaikan sijil kepada pempamer franchise dalam Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Johor di Angsana Mall Johor Bahru, Johor Bahru, pada Sabtu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penyertaan siswa dalam perniagaan berkonsep francais ketika ini hanya kira-kira 20 peratus.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kementeriannya akan memperhebat penyertaan mereka sekali gus mengikis persepsi francais merupakan perniagaan 'kayangan' kerana memerlukan modal yang besar.

"Persepsi ini perlu diubah. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menawarkan dua program khusus untuk membantu pertumbuhan perniagaan francais iaitu menerusi Francais Mikro dan Mampu Milik dengan peruntukan RM5 juta.

"Jika sebelum ini modal besar sehingga ratusan ribu ringgit diperlukan kepada mereka yang berminat melabur dalam perniagaan ini tetapi melalui dua program ini, bakal usahawan hanya perlu mengeluarkan modal di bawah RM100,000," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Johor di Angsana Mall Johor Bahru di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azman Mohd Yusof; Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han dan Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro.

Rosol menambah, KPDNHEP akan cuba memperbanyak dan memperhebatkan penyertaan terutama siswa dengan memberi kesedaran berhubung perniagaan itu.

"Ada panduan dari langkah pertama hingga akhir jika mereka berminat. Itu kelebihan francais berbanding perniagaan biasa," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, selepas Johor, program jelajah itu akan ke Pahang pada 15 hingga 17 Julai 2022, Selangor (19 hingga 21 Ogos 2022) dan lokasi terakhir di Kedah (17 hingga19 November depan).

Berdasarkan Laporan Francais Bay siri 1/2022 yang dilaksanakan Sarawak dari 27 hingga 29 Mei lalu, beliau memberitahu, sebanyak 15 francaisor tempatan telah terlibat.

"Hasilnya, sebanyak 59 potensi francaisi telah mendapatkan khidmat nasihat dan mengemukakan hasrat mereka untuk menjadi francaisi dengan nilai potensi pelaburan dijangka sebanyak RM24 juta.

"Sehingga kini, di bawah program Francais Mikro dan Mampu Milik juga, sebanyak 33 permohonan Geran Padanan berjumlah RM2.4 juta telah diluluskan. Manakala, bagi permohonan Geran Penuh sebanyak 14 permohonan telah diluluskan berjumlah RM1.4 juta," katanya.