Penceroboh bakal berdepan tindakan: Exco

Norhizam Hassan Baktee
Norhizam Hassan Baktee
A
A
A
MELAKA TENGAH - Tindakan undang-undang akan diambil termasuk membuat tuntutan pampasan terhadap pihak yang menceroboh dan menjadikan kawasan penahan ombak di Tanjung Kling sebagai jeti pendaratan secara haram.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee berkata, hasil aduan serta maklumat daripada penduduk setempat, pihaknya mendapati kegiatan itu dipercayai telah bermula sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya tida akan akan berdiam diri, sebaliknya perkara tersebut akan dibincangkan bersama penasihat undang-undang negeri.

Katanya, sekiranya berhak mendapat pampasan, kerajaan negeri tidak teragak-agak membuat tuntutan terhadap penceroboh kawasan dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu sebagai jeti bagi pendaratan haram.

"Sebenarnya penahanan ombak itu telah dibina JPS sejak tahun 2008 lagi, bagaimanapun kini kawasan itu telah dijadikan jeti oleh pihak berkepentingan dengan melakukan tambakan konkrit.

"Hasil pemantauan yang dibuat JPS turut mendapati terdapat pejabat kecil yang dibina di kawasan tersebut sebagai pusat kawalan bagi aktiviti haram," katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Datuk Zaidi Johari, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Rosli Mustapa dan Penolong Pengarah JPS, Mohd. Zulfazlie Mukelas.

Mengulas mengenai isu seramai 40 nelayan membuat bantahan di jeti tersebut baru-baru ini, Norhizam berkata, perkara tersebut terjadi disebabkan salah faham selepas beliau mendakwa jeti berkenaan menjadi pendaratan haram pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Saya menyatakan kekhuatiran sekiranya berlaku pendaratan haram Pati agar pihak polis dapat mengambil tindakan tanpa saya menyebut mana-mana pihak sebagai dalang dan sebagainya termasuk nelayan," katanya.
Artikel Berkaitan: