14,000 permohonan pekerja asing sektor pembinaan diluluskan: Fadillah

Sebanyak 14,000 permohonan penggajian pekerja asing bagi sektor pembinaan telah diluluskan kerajaan. - Gambar hiasan
Sebanyak 14,000 permohonan penggajian pekerja asing bagi sektor pembinaan telah diluluskan kerajaan. - Gambar hiasan
A
A
A

BINTULU - Sebanyak 14,000 permohonan penggajian pekerja asing bagi sektor pembinaan telah diluluskan kerajaan, kata Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia juga telah memeterai perjanjian dengan negara Bangladesh dan Indonesia, untuk membawa masuk pekerja warganegara mereka ke Malaysia.

Namun, Fadillah menjelaskan buat masa ini kerajaan masih menunggu pekerja yang berminat untuk mengambil peluang tersebut.

"Walaupun dah dapat kelulusan tapi (setakat ini) tiada orang yang nak masuk (bekerja). Mungkin di Indonesia dah ada banyak (peluang) pekerjaan baharu, kerana mereka banyak program yang nak dibuat.

"Jadi itu yang kita tidak pasti sekarang (sebab mengapa mereka tidak mahu datang). Cabaran sekarang adalah untuk kita dapatkan pekerja (bagi sektor pembinaan),” katanya kepada pemberita yang menyertai program Jelajah FTRoadpedia Sarawak di Lapangan Terbang Bintulu di sini pada Jumaat.

Jelajah FTRoadpedia Sarawak anjuran Kementerian Kerja Raya yang bermula Khamis hingga 11 Jun itu bertujuan meninjau perkembangan semasa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dengan melintasi daerah Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri.

Sementara itu, mengulas mengenai projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Fadillah berkata, pihaknya akan memperbaiki sistem keselamatan di lebuh raya itu susulan teguran daripada pemimpin setempat.

"Ada teguran dari wakil rakyat dan pemimpin setempat mengenai papan tanda arah, amaran dan lampu pemantul pada waktu malam yang tidak begitu jelas. Itu perlu diperbaiki untuk pastikan pemandu tahu di mana ada persimpangan atau diversion.

"Terdapat juga guard rail besi yang telah dipasang tetapi ada sebahagiannya telah jatuh, Mungkin ada mereka yang membuat vandalisme,” tambahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: