Dua anggota 'Geng Padil' dicekup

Wan Mohd Zahari (kanan) menunjukkan parang dan beberapa barang kes lain yang dirampas susulan penahanan dua suspek anggota Geng Padil' Rabu lalu.
Wan Mohd Zahari (kanan) menunjukkan parang dan beberapa barang kes lain yang dirampas susulan penahanan dua suspek anggota Geng Padil' Rabu lalu.
A
A
A

KUANTAN - Dua lelaki anggota 'Geng Padil' ditahan kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes jenayah termasuk kes samun bersenjata, curi kenderaan dan pecah kedai yang dilaporkan di sekitar daerah ini sejak awal Mei lalu.

Suspek berusia 21 dan 29 tahun itu ditahan pada Rabu lalu susulan laporan polis dibuat seorang warga Nepal yang mendakwa disamun dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di kawasan Perindustrian Indera Mahkota 14 di sini dua hari sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian itu, mangsa diacukan parang sebelum telefon bimbit dan sejumlah wang tunai dilarikan suspek dengan nilai kerugian kira-kira RM700.

Menurutnya, mangsa mengalami luka di tangan akibat terjatuh setelah ditolak suspek yang melarikan diri menggunakan sebuah kereta dipandu individu lain.

"Susulan laporan itu, pihaknya berjaya mengesan kereta dinaiki suspek di Jalan Batu Hitam dekat sini kira-kira jam 11 pagi Rabu lalu. Kedua-dua suspek yang cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran polis bagaimanapun berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta jenis Perodua Kancil yang digunakan itu mendapati ia kenderaan curi yang dilaporkan hilang pada 2 Jun lalu. Kita turut menemui sebilah parang disyaki senjata yang digunakan dalam kes samun, pisau, dompet, empat tayar bersama rim, kad pengenalan, kad bank dan cukai jalan milik individu lain," katanya.

Wan Mohd Zahari (kanan) menunjukkan kereta curi dan beberapa barang kes lain yang dirampas susulan penahanan dua suspek anggota Geng Padil' Rabu lalu.
Wan Mohd Zahari (kanan) menunjukkan kereta curi dan beberapa barang kes lain yang dirampas susulan penahanan dua suspek anggota Geng Padil' Rabu lalu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Zahari berkata, siasatan mendapati, suspek bergiat aktif sejak awal Mei lalu dengan menjadikan kawasan sunyi dan terpencil untuk melakukan jenayah.

"Suspek yang tidak bekerja dan berasal dari daerah ini di bawa ke IPD Kuantan untuk siasatan lanjut dan kini direman sehingga Ahad ini.

"Hasil ujian air kencing mendapati kedua-duanya turut positif dadah jenis Methamphetamine selain memiliki rekod kesalahan lampau berkait kes jenayah dan dadah.

"Susulan penahanan suspek, polis percaya telah berjaya menyelesaikan satu kes samun, dua kes curi kenderaan, satu kes curi dan pecah kedai yang dilaporkan di daerah ini," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397, Seksyen 379A, Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

" Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti sekiranya suspek turut terlibat dalam kes lain dan kemungkinan wujud pihak lain yang terlibat," jelasnya.