Buruh binaan maut ketika cuba selamatkan motosikal dalam kebakaran

KUALA NERUS – Tindakan seorang buruh binaan mengalihkan motosikal bertukar tragedi apabila dia maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pak Tuyu berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa, Shafie Awang @ Abd Rahman, 49, dipercayai berlari masuk ke dalam rumah yang sedang terbakar untuk mendapatkan kunci motosikal miliknya sebelum api merebak dengan pantas.
Menurut abang mangsa, Mohamad Awang @ Abd Rahman, 56, dia diberitahu mengenai kejadian menimpa adiknya itu ketika berada di kediamannya di Kampung Batin, Seberang Takir di sini sekitar jam 8 malam.
"Arwah tinggal bersendirian di rumah pusaka keluarga yang berusia lebih 70 tahun. Dia seorang duda dan mempunyai dua anak yang kini tinggal bersama bekas isterinya," katanya.
Menurutnya, arwah merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan bekerja sebagai buruh binaan, namun jarang bertemu keluarga disebabkan kekangan masa.
"Kali terakhir saya berjumpa arwah pada Oktober tahun lalu dan tidak menyangka pertemuan itu adalah yang terakhir. Kami sekeluarga reda dengan ketentuan ini," katanya.
Menurut saksi kejadian, Mohd Faizal Mohd Fazil, 30, mangsa dipercayai baru pulang dari tempat kerja sebelum mendapati rumahnya telah terbakar.
"Dia masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil kunci motosikal yang diletakkan di luar, tetapi api merebak terlalu cepat menyebabkan mangsa terperangkap," katanya.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.37 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus tiba di lokasi lapan minit kemudian.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Negeri Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman, berkata, mayat mangsa ditemukan di bahagian hadapan rumah selepas kebakaran berjaya dipadamkan sebelum diserahkan kepada polis dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi tindakan lanjut.
Beliau berkata, kebakaran tersebut memusnahkan sepenuhnya sebuah rumah serta sebuah motosikal jenis LC135 milik mangsa.
"Operasi ini melibatkan seramai 21 anggota bomba dengan bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu.
"Pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dan dua pancutan air sehingga api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.02 malam," katanya.
Beliau berkata, punca kebakaran serta siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.
Ringkasan AI
- Seorang buruh binaan meninggal setelah terperangkap dalam kebakaran rumah di Kampung Pak Tuyu, Kuala Nerus
- Mangsa, Shafie Awang @ Abd Rahman, berusia 49 tahun, masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan kunci motosikal
- Mangsa tinggal bersendirian di rumah pusaka keluarga yang berusia lebih 70 tahun
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu menerima panggilan kecemasan dan tiba di lokasi lapan minit kemudian
- Operasi pemadaman melibatkan 21 anggota bomba dan rumah serta motosikal mangsa musnah sepenuhnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
