Masalah brek lori punca kemalangan enam kenderaan

Masalah brek dialami sebuah lori menyebabkan kemalangan enam kenderaan di Lebuhraya Elite pada Rabu. - Foto PDRM
Masalah brek dialami sebuah lori menyebabkan kemalangan enam kenderaan di Lebuhraya Elite pada Rabu. - Foto PDRM
A
A
A

KUALA LANGAT - Masalah brek punca sebuah lori merempuh sebuah Perodua Bezza dari belakang mengakibatkan kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di kilometer (KM) 21.9, arah utara, Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, kedua-dua lori dan Perodua Bezza berkenaan hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan sebelum melanggar sebuah kereta jenis Toyota Vellfire.

"Akibat rempuhan Perodua Bezza itu melanggar bahagian belakang kereta jenis Toyota Vellfire menyebabkan Vellfire itu melanggar bahagian belakang sebuah Proton Waja.

"Kemudian Proton Waja berkenaan melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Toyota Alphard ia telah bergerak ke hadapan lalu melanggar sebuah kereta jenis Perodua Alza," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pemandu Perodua Bezza dihantar ke Hospital Putrajaya berikutan mengalami kecederaan di bahagian muka manakala pemandu lain yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, hasil ujian air kencing terhadap pemandu lori jenis Scania berkenaan didapati negatif dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Keenam- enam kenderaan yang terlibat kemalangan telah di bawa ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Langat untuk pemeriksaan terperinci oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

"Saksi yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini bolehlah menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621 / 03-31872222," ujarnya.

Ahmad Ridhwan memberitahu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.