Rasuah: Penjawat awam mangsa 'kambing hitam'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MENURUT laporan akhbar 18 September 2021, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sebanyak 55 peratus tangkapan terhadap pelaku rasuah adalah melibatkan golongan muda iaitu 40 tahun ke bawah.

Separuh daripada golongan muda ini adalah terdiri daripada penjawat awam yang kebanyakannya sebagai kakitangan kerajaan pertengahan dan bawahan.

Persoalannya apakah punca golongan ini terpalit dengan najis rasuah, pastinya ada dorongan atau menjadi ikutan daripada 'golongan atasan atau berpangkat tinggi' yang melakukan perkara keji itu terlebih dahulu.

Sebaliknya, lanjutan daripada isu ada kata-kata kurang enak yang sering terpacul di sebalik isu ini iaitu 'jerung besar selalu terlepas dan yang kena tangkap ikan bilis'.

Walaupun sukar dibuktikan, namun jika 'tidak ada angin masakan lalang bergoyang', satu ungkapan yang boleh dipertikaikan dan dibahaskan oleh semua pihak.

Bertitik-tolak daripada tanggapan itu, adalah tidak adil menyalahkan penjawat awam semata-mata walaupun hakikatnya isu gaji menjadi punca suapan berlaku.

Selain 'golongan berpangkat tinggi' turut terlibat gejala rasuah ini membabitkan 'golongan VIP iaitu ahli politik' yang telah menjana kekayaan bertahun-tahun.

Maka tidak hairanlah ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terdapat satu rang undang-undang (RUU) Pembiayaan Dana Politik sepatutnya dibentangkan pada 2020, tetapi kerajaan PH jatuh pada hujung Februari tahun sama.

Apa pun tahapnya atau peringkat rasuah yang dilakukan, negara patut malu dengan jiran yang bukanya negara Islam tetapi menduduki tangga kelima dunia iaitu bebas daripada rasuah.

Masih teringat bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Ywe dalam ucapan beliau di World Ethics and IntegritY Forum 2005, usaha memerangi rasuah di kalangan penjawat awam dan golongan berpangkat ialah menerusi gaji yang selaras dengan taraf kehidupan.

Jika ini dapat dijayakan, kecenderungan menerima pemberian atau suapan dapat dikurangkan.

Malah jika peringkat ini dapat dibendung maka pastinya lebih mudah untuk memerangkap golongan pemberi rasuah.

Apa pun ini bergantung kepada 'political will' sesebuah negara untuk membanteras rasuah dalam pelbagai peringkat samada kerajaan mahupun swasta.

Antara punca kejayaan negara Temasik itu mengawal amalan rasuah kerana ia menjadikan isu ini sebagai agenda utama negara sejak memperolehi status kerajaan sendiri pada tahun 1959.

Mungkin kita semua patut membetulkan semula struktur negara dalam membanteras rasuah, mungkin kita patut pelajari daripada jiran di seberang tambak itu.