LIMA '23: 40 peratus pengisian babit Maritim, aeroangkasa

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan berusaha mempromosikan segmen komersial maritim dan aeroangkasa yang merangkumi 40 peratus daripada pengisian Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LlMA) 2023 (LIMA ‘23).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penganjuran LIMA ’23 adalah platform terbaik untuk merancakkan kembali sebahagian sektor komersial maritim serta aeroangkasa yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan kerjasama antara kementerian, agensi pemegang taruh yang berkaitan.

"Sektor komersial maritim dan aeroangkasa yang berpotensi untuk diketengahkan adalah merangkumi produk dan perkhidmatan teras, perkhidmatan sampingan, pendidikan dan kemajuan teknologi terkini serta peluang pendidikan dan kerjaya” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Prapelancaran Pameran LIMA ‘23 di sini pada Rabu.

LIMA ‘23 yang tertunda sejak 2021 ekoran pandemik Covid-19, bakal dianjurkan pada 23 Mei hingga 27 Mei tahun depan di Pulau Langkawi, Kedah seperti yang diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Rabu.

Menurut Ka Siong, berdasarkan perkembangan dan trend semasa Malaysia telah memperlihatkan peningkatan dalam industri dron dengan sekurang-kurangnya 200 syarikat dron telah dikenal pasti beroperasi di Malaysia.

Ka Siong berkata, terdapat syarikat tempatan yang menjadi peneraju dalam industri dron dan syarikat berkenaan boleh mengambil platform itu untuk mengembangkan lagi potensi perniagaan masing-masing.

"Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama dengan kementerian lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi mendapatkan penyertaan syarikat dron komersial membabitkan pelbagai sektor seperti pertanian, logistik, media kreatif dan rekreasi, pemuliharaan alam sekitar, perancangan harta tanah dan pembinaan serta tenaga,” katanya.

Selain itu, Ka Siong berkata, sebagai negara berstatus Negara Maritim, Malaysia perlu mengambil peluang dalam industri pembinaan dan pembaikan kapal di Malaysia yang keseluruhannya bernilai lebih daripada RM15.3 bilion.

Sektor tersebut terdiri daripada sektor minyak dan gas, perikanan, kapal persiaran, pelabuhan serta sektor sokongan yang lain.

"Berdasarkan statistik daripada pihak Jabatan Laut, hampir 100,000 kapal melalui Selat Melaka tahun lalu menjadikan antara laluan tersibuk dunia yang mengendalikan kira-kira 25 peratus barangan dagangan global,” katanya. - Bernama