MBPP, JKR digesa tubuh pemantau turapan jalan raya tidak sempurna

Eric (kanan) menunjukkan jalan raya yang tidak ditampal dengan baik.
Eric (kanan) menunjukkan jalan raya yang tidak ditampal dengan baik.
A
A
A

GEORGETOWN - Isu jalan rosak di Pulau Pinang telah lama dibangkitkan beberapa pihak namun sehingga kini, masalah berkenaan nampaknya masih belum diselesaikan dengan baik.

Lebih membimbangkan, banyak kemalangan jalan raya dikatakan berlaku akibat jalan raya rosak selain keadaannya tidak ditampal dengan baik.

Sehubungan itu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang menubuhkan pasukan pemantauan dan pemeriksaan untuk memeriksa keadaan jalan raya serta kerja penampalan jalan oleh kontraktor yang menjalankan projek di sekitar jalan raya berkenaan.

Jurucakap Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Itam Gerakan Pulau Pinang, Eric Woo berkata, pihaknya menerima lebih 10 aduan sepanjang dua bulan lalu (April dan Mei) berhubung keadaan jalan raya tidak ditampal dengan baik selain jalan raya berlubang.

Kata Eric, selain jalan raya yang berlubang, pihaknya menerima aduan mengenai mendapan jalan dipercayai akibat tidak diturap dengan baik.

"Melalui aduan awam dan pemantauan yang dibuat, banyak jalan raya di sini rosak selain dalam keadaan berlubang. Difahamkan, kerja-kerja membaiki, menampal dan menurap telah dijalankan oleh kontraktor pelbagai agensi yang menjalankan projek berdekatan jalan raya berkenaan.

"Oleh demikian, JKR negeri dan MBPP digesa menubuhkan pasukan pemantauan dan pemeriksaan masing-masing untuk memeriksa keadaan jalan dan kerja-kerja penampalan jalan oleh kontraktor-kontraktor," katanya dalam sidang akhbar di Jalan Masjid Negeri, pada Rabu.

Eric berkata, sebanyak lapan aduan dibuat kepada MBPP dan JKR.

Katanya, tinjauan mendapati kerosakan jalan raya tersebut disebabkan kerja turapan sementara yang tidak sempurna sehingga menyebabkan jalan raya berlubang dan mendap.

"Keadaan jalan raya yang berlubang dan mendap sangat bahaya kepada pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal. Walaupun kerja tampalan itu bersifat sementara kerana kerja-kerja projek masih belum selesai, namun aspek keselamatan pengguna jalan raya tidak boleh diabaikan.

"Oleh itu, MBPP dan JKR negeri perlu memandang serius dan menubuhkan skuad pemantuan masing-masing untuk turun padang bagi mengadakan pemeriksaan di tapak kerja oleh kontraktor. Jika terdapat kerja-kerja penampalan jalan yang tidak sempurna, MBPP dan JKR selaku pihak berkuasa boleh mengarahkan kontraktor yang bertanggungjawab untuk menurap semula jalan tersebut," katanya.

Menurutnya, Gerakan Pulau Pinang juga memohon bahagian kejuruteraan di kedua-dua agensi itu mengkaji semula piawaian bagi penampalan jalan secara kekal atau sementara.

"Ia termasuk keluasan bahagian perlu diturap, uji kaji daya penampungan berat dan kaedah penurapan.

"Perlu dititik beratkan adalah aspek keselamatan pengguna jalan raya walaupun penampalan jalan tersebut dikategorikan sebagai turapan sementara," katanya.