Pelancongan masuk rendah, defisit perdagangan Malaysia meningkat

(Gambar kecil: Mohd Uzir) Terdapat 'trend negatif yang berterusan' dalam perkhidmatan pelancongan sejak 2020 kerana sempadan Malaysia masih ditutup kepada ketibaan pelancong. - Foto 123RF
(Gambar kecil: Mohd Uzir) Terdapat 'trend negatif yang berterusan' dalam perkhidmatan pelancongan sejak 2020 kerana sempadan Malaysia masih ditutup kepada ketibaan pelancong. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mencatatkan defisit perdagangan tertinggi dalam perkhidmatan yang meningkat kepada RM60.7 bilion berbanding defisit RM47.2 bilion pada 2020 disebabkan oleh pelancongan masuk yang lebih rendah, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Menurut Statistik Perdagangan Antarabangsa dalam Perkhidmatan (SITS) 2021 DoSM yang dikeluarkan pada Rabu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pandemik Covid-19 memberi kesan buruk kepada perdagangan perkhidmatan.

"Eksport perkhidmatan merekodkan RM86.7 bilion berbanding RM93.0 bilion pada tahun sebelumnya. Sementara itu, import perkhidmatan meningkat sebanyak 5.2 peratus kepada RM147.5 bilion daripada RM140.1 bilion pada 2020,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata, terdapat 'trend negatif yang berterusan' dalam perkhidmatan pelancongan sejak 2020 kerana sempadan Malaysia masih ditutup kepada ketibaan pelancong, menyebabkan defisit tertinggi dalam perdagangan perkhidmatan.

Perkhidmatan perniagaan lain yang diintegrasikan dengan teknologi digital menyaksikan kesan negatif paling sedikit sepanjang pandemik itu, mencatatkan nilai eksport RM27.1 bilion pada 2021 berbanding RM27.3 bilion tahun lalu.

Import komponen itu meningkat sebanyak 4.0 peratus tahun ke tahun kepada RM30.9 bilion menyebabkan defisit sebanyak RM3.9 bilion dalam perkhidmatan tersebut.

Bagaimanapun, perkhidmatan pembuatan menyaksikan lebihan dagangan sebanyak RM14.1 bilion pada 2021, yang tertinggi dalam dekad yang lalu.

Amerika Syarikat (AS) ialah destinasi utama untuk eksport dan import perkhidmatan Malaysia, bernilai RM26.6 bilion dan RM32.1 bilion, dengan masing-masing mencatatkan peningkatan 7.0 peratus dan 1.8 peratus tahun ke tahun.

Eksport utama Malaysia ke AS adalah perkhidmatan pembuatan dan perkhidmatan perniagaan lain manakala import utama ialah perkhidmatan perniagaan lain dan pelancongan.

Singapura merupakan destinasi kedua terbesar perdagangan perkhidmatan, merekodkan nilai eksport pada RM19.5 bilion dan import RM23.1 bilion, terutamanya perkhidmatan perniagaan lain, pengangkutan dan telekomunikasi, komputer dan maklumat.

Negara ketiga terbesar untuk eksport Malaysia ialah United Kingdom dengan RM6.3 bilion manakala bagi import ialah China pada RM15.1 bilion. - Bernama