Wajib carum Perkeso walau menggaji seorang pekerja

Mohammed Azman (tiga, kanan) selepas merasmikan Ops Kesan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), pada Rabu.
Mohammed Azman (tiga, kanan) selepas merasmikan Ops Kesan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap majikan wajib mendaftar dan membuat caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk pekerja mereka walaupun hanya menggajikan seorang pekerja.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihak majikan memberikan pelbagai alasan untuk membuat caruman tersebut bagi pekerja mereka, walaupun sudah berniaga dalam tempoh lama.

Menurutnya, majikan tidak sepatutnya menganggap caruman Perkeso sebagai satu beban, sebaliknya merupakan alternatif untuk membantu pekerja jika terlibat kejadian tidak diingini ketika bekerja.

"Tiada kompromi kerana ia adalah jaringan sosial pekerja dan majikan perlu beri keutamaan (kepada pekerja).

"Malang tidak berbau dan sediakan payung sebelum hujan. Jadi, jangan anggap sebagai beban. Jika apa-apa berlaku kepada pekerja itu, tidak ada siapa yang akan tanggung. Kalau mereka ada seorang pekerja contohnya di kedai tepi jalan, kedai pisang goreng atau berniaga nasi lemak pada waktu pagi. Ada pekerja, sila daftar dan mencarum (Perkeso)," katanya selepas melaksanakan Ops Kesan di sekitar Dataran Otomobil, Seksyen 15, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, terdapat segelintir pihak seperti e-hailing dan p-hailing yang merasakan mereka dipaksa untuk membuat caruman tersebut.

"Ini bukan paksaan tapi pendekatan untuk memberi kesedaran kepada mereka kerana jika berlaku kemalangan atau kecederaan, ada bantuan untuk kesinambungan hidup individu dan keluarga mereka.

"Kalau dia mempunyai caruman Perkeso, (perbelanjaan) keluarganya akan terjamin dari segi perubatan, pemulihan, hilang upaya dan berlaku kematian," katanya.

Pada Rabu, pihak penguat kuasa Perkeso mengeluarkan sebanyak 220 kompaun dan tujuh arahan pematuhan menerusi Ops Kesan yang dilaksanakan di seluruh negara.

Katanya, sebanyak 20 peratus daripada 1,258 majikan yang dilawati dalam operasi tersebut didapati masih belum mencarum Perkeso walaupun tempoh pemutihan diberi sepanjang Mei lalu.