RM55.38 juta untuk perumahan rakyat Kelantan

Ahmad (dua dari kanan) merasmikan Kempen Pemilikan Rumah Negeri Kelantan di Mydin Tunjong, Kota Bharu pada Rabu.
Ahmad (dua dari kanan) merasmikan Kempen Pemilikan Rumah Negeri Kelantan di Mydin Tunjong, Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memperuntukkan dana berjumlah RM55.38 juta bagi menyediakan perumahan rakyat mampu milik di negeri itu pada tahun ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, dana tersebut termasuk RM22.35 juta bagi program pembinaan rumah dhuafat kepada penduduk miskin.

Katanya, peruntukan bagi pembinaan rumah dhuafat dua kali ganda lebih tinggi berbanding RM10.67 juta pada tahun lalu.

“Setiap rumah dhuafat bernilai RM55,000 berbanding RM45,000 yang ditetapkan sebelum ini. Ia tetap dibina untuk keselesaan penduduk miskin biarpun kos bahan binaan meningkat.

“Syarat pembinaan kekal bagi setiap rumah mempunyai tiga bilik, dapur, tandas dan ruang tamu,” katanya selepas Majlis Perasmian Kempen Pemilikan Rumah Negeri Kelantan di Mydin Tunjong di sini, pada Rabu.

Pengarah Konsumer Bank Islam Negeri Kelantan, Nurol’ain Abg Latip (tengah) menerima Sijil Penyertaan Kempen Pemilikan Rumah Negeri Kelantan yang disampaikan Menteri Besar Kelantan di Mydin Tunjong, Kota Bharu pada Rabu.
Pengarah Konsumer Bank Islam Negeri Kelantan, Nurol’ain Abg Latip (tengah) menerima Sijil Penyertaan Kempen Pemilikan Rumah Negeri Kelantan yang disampaikan Menteri Besar Kelantan di Mydin Tunjong, Kota Bharu pada Rabu.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Redha) Kelantan, Muhammad Amir Bakhtiar Yusoff dan Pengerusi Pameran Perumahan dan Hartanah Malaysia (Mapex) Kelantan, Datuk Samsuri Awang Mat.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pembinaan rumah kepada dhuafat oleh kerajaan negeri itu dibina dengan syarat pemohon mempunyai tanah sendiri.

“Projek pembinaan berterusan sehingga hujung tahun ini dan peruntukan tersebut boleh juga digunakan untuk membaiki rumah penduduk miskin dengan kos RM10,000 setiap rumah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Amir Bakhtiar berkata, setakat ini, sejumlah 40 pemaju hartanah di Kelantan berdaftar dengan Redha negeri yang terlibat dalam menyediakan perumahan mampu milik di bawah paras harga RM300,000 setiap rumah.

“Berlaku peningkatan kos bahan api yang menyebabkan kos pembinaan rumah yang dianggap sesuai ketika ini adalah sekitar RM150 - RM180 kaki persegi bergantung kepada kelengkapan infrastruktur.

“Pihak Redha turut menasihatkan pengguna agar tidak tertipu dengan pemaju tidak berdaftar yang menawarkan harga lebih rendah,” katanya.