[VIDEO] Penjaga stor didakwa lakukan amang seksual, cabul

Penjaga stor didakwa atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dan cabul dua beradik di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru pada Rabu.
Penjaga stor didakwa atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dan cabul dua beradik di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penjaga stor di sebuah kedai serbaneka didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini pada Rabu atas empat pertuduhan kerana mencabul dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua beradik, Mei lalu.

Tertuduh, Ibnu Azim Azmi, 30, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman dan Majistret Nurmadiana Mamat.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun kira kira jam 10 malam di sebuah rumah di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang pada 23 Mei lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 14 (d) akta yang sama iaitu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika didapati bersalah.

Sementara bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa mencabul kehormatan rakan sekerjanya berusia 20 tahun di kaunter juruwang di sebuah kedai serbaneka di Bandar Seri Alam Pasir Gudang kira-kira jam 10.15 malam pada 25 Mei lalu

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew dan Nor Maisarah Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak boleh mengganggu saksi serta mangsa.

Kes disebut semula pada 12 Julai depan.