Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nilai ringgit meningkat berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Rabu walaupun pada kadar yang lebih perlahan, berikutan senario inflasi global dan pengetatan dasar ekonomi.

Pada jam 9 pagi, nilai mata wang tempatan ialah pada 4.3930/3960 berbanding dolar AS daripada 4.3935/3960 penutup Selasa.

Menurut peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz, dolar mungkin terus meningkat dalam jangka sederhana dan panjang.

"Peningkatan nilai mata wang AS berlaku di tengah-tengah ketegangan semakin ketara di Asia yang membabitkan latihan ketenteraan Korea Utara dan ini mendorong AS untuk menjalankan latihan ketenteraan bersama-sama dengan Korea Selatan,” katanya.

Sementara itu, ringgit lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali yen.

Mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1937/1964 daripada 3.1936/1957 semalam dan jatuh berbanding pound Britain menjadi 5.5242/5280 daripada 5.4963/4994.

Ringgit turut menyusut nilai berbanding euro kepada 4.6970/7002 daripada 4.6892/6919 pada penutup Selasa tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3020/3045 daripada 3.3109/3130. - Bernama