Tertekan sejak jiran ubah suai rumah

Abdul Halim menunjukkan kesan bocor pada rumahnya.
Abdul Halim menunjukkan kesan bocor pada rumahnya.
A
A
A

NILAI - [DIKEMAS KINI] Kehidupan sepasang suami isteri di Taman Surian di sini tidak lagi tenteram sejak jirannya membuat kerja-kerja pengubahsuaian rumah yang didakwa tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kesan daripada projek itu, rumah Abdul Halim, 38, dan Nor Sabrina, 44, berdepan masalah bocor dan retak di beberapa bahagian.

Dakwa Abdul Halim, pihak kontraktor didapati tidak mengikut tatacara keselamatan sepanjang kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan.

"Pernah berlaku kejadian serpihan batu bata jatuh di dalam kawasan garaj rumah saya yang merosakkan cermin motosikal.

"Saya bersyukur kerana ketika itu anak-anak saya tidak bermain di luar rumah," katanya pada sidang akhbar bersama empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di rumahnya di sini pada Selasa.

Menurutnya, aduan rasmi sudah dibuat beberapa kali kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk tindakan, namun kerja-kerja pengubahsuaian dilihat tetap diteruskan.

Jelasnya, difahamkan pihak MBS sudah mengeluarkan notis arahan memberhentikan kerja-kerja pengubahsuaian sebanyak tiga kali sejak tahun 2019.

"Tapi saya tengok 'tali kuning' yang dipasang oleh pihak MBS itu telah dicabut.

Abdul Halim dan Nor Sabrina menunjukkan laporan polis yang dibuat. Turut menyokong tindakannya empat NGO (berdiri belakang).
Abdul Halim dan Nor Sabrina menunjukkan laporan polis yang dibuat. Turut menyokong tindakannya empat NGO (berdiri belakang).

"Dia nak buat ubah suai rumah saya tiada masalah, tapi bila mula mengancam keselamatan dan keselesaan keluarga, saya tak boleh berdiam diri," katanya.

Bukan itu sahaja kata Abdul Halim, paku dan skru serta simen didapati bersepah hingga ke kawasan laman rumahnya.

Malah bapa kepada empat cahaya mata itu pernah membuat laporan polis disebabkan kerosakan rumahnya.

"Terbaharu pada Ahad lalu selepas saya 'diserang' jiran yang tidak berpuas hati kerana saya mengambil gambar dan video rumahnya untuk rujukan MBS," katanya.

Nor Sabrina Ayu pula berkata, dia berdepan masalah tekanan emosi kerana ketenteraman hidupnya terganggu.

"Saya pindah sini tahun 2018 dan hidup kami waktu itu aman saja sehinggalah pemilik rumah buat kerja-kerja pengubahsuaian.

"Sesiapa yang nampak keadaan rumah yang diubah suai ini pun akan mempersoalkan kerana jelas nampak ia keterlaluan," katanya.