142kg ganja dalam kereta dirampas

Ahmad Jefferi (tengah) menunjukkan antara dadah yang dirampas menerusi serbuan yang dijalankan dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.
Ahmad Jefferi (tengah) menunjukkan antara dadah yang dirampas menerusi serbuan yang dijalankan dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor merampas 142 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM355,250 yang diletakkan dalam sebuah kereta berhampiran sebuah pasar raya di Bangsar di sini pada Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, serbuan yang dijalankan turut memberkas tiga lelaki warga tempatan.

"Kesemua suspek yang diberkas berumur antara 23 hingga 49 tahun di lokasi serbuan.

"Pemeriksaan yang dijalankan turut menemukan 145 ketulan ganja mampat seberat 142kg bernilai RM355,250 dalam sebuah kereta jenis Proton Preve dan dipercayai untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.

Katanya, siasatan awal dijalankan mendapati bekalan dadah ini dipercayai daripada negara jiran.

"Bekalan dadah ini dipercayai dibawa daripada utara tanah air.

"Bekalan dadah ini juga boleh dibekalkan kepada 142,100 penagih dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak satu gram," katanya.

Menurutnya, ujian saringan turut mendapati dua daripada tiga suspek yang diberkas positif dadah jenis methamphetamine dan THC.

"Polis turut menyita tiga buah kereta dipercayai milik sindiket antaranya melibatkan Proton Preve, Toyota Vellfire dan Proton Iswara.

"Nilai rampasan dan sitaan keseluruhan berjumlah RM138,800," ujarnya.

Tambahnya, kesemua suspek yang ditahan telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah amat dialu-alukan, sekali gus memastikan usaha membanteras sindiket pengedaran dadah secara habis-habisan dapat dilaksanakan," katanya.