Tangani isu kebocoran data peribadi secara bersama

Kes kecurian data peribadi menjadi buah mulut rakyat apabila dikhabarkan kira-kira 100 juta set data itu dipercayai dicuri pihak tidak bertanggungjawab dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. - Foto 123rf
Kes kecurian data peribadi menjadi buah mulut rakyat apabila dikhabarkan kira-kira 100 juta set data itu dipercayai dicuri pihak tidak bertanggungjawab dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. - Foto 123rf
A
A
A

KES kecurian data peribadi menjadi buah mulut rakyat apabila dikhabarkan kira-kira 100 juta set data itu dipercayai dicuri pihak tidak bertanggungjawab dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Set peribadi yang dimaksudkan termasuklah nama penuh, alamat, nombor telefon, nombor MyKad serta pelbagai lagi maklumat peribadi lain.

Oleh yang demikian, kerajaan didesak untuk meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) bagi membendung kes tersebut berleluasa.

Perkara itu disuarakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang bimbang data yang dicuri digunakan penjenayah bagi tujuan penipuan (scam) atau aktiviti jenayah, sekali gus memberi impak negatif kepada mangsa.

Dalam pada itu, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) juga telah menyenaraikan enam punca berlaku kebocoran maklumat, tidak kira dalam atau luar organisasi, secara sengaja atau tidak.

Ketua Pengarahnya, Mazmalek Mohamad berkata, sikap individu yang mempunyai kepentingan tertentu juga menjadi penyebab berlakunya jenayah berkenaan selain sikap kurang pengetahuan atau kesedaran mengenai kepentingan melindungi data peribadi.

Selain itu, sikap individu itu sendiri yang memandang remeh kepentingan melindungi data peribadi hingga mempercayai pihak lain untuk mengakses akaun atau data penting miliknya.

Sementara itu pakar keselamatan siber, Fong Choong Fook mempersoalkan keseriusan kerajaan melaksanakan forensik siber berhubung isu berkenaan ekoran masih banyak kes kebocoran data berlaku di luar kawalan pengguna.

Oleh yang demikian katanya, kerajaan perlu telus dalam menangani isu kebocoran data yang didakwa berpunca daripada kecuaian atau ketirisan melibatkan agensi di bawahnya.

Dalam masa sama, masyarakat juga diingatkan supaya tidak mudah berkongsi butiran peribadi dengan pihak yang tidak dikenali dan pastikan maklumat itu tidak didedahkan di laman sosial.

Rakyat juga digalakkan membaca berita dalam platform media sosial bagi mengetahui isu terkini berkaitan digital kerana isu kebocoran data peribadi ini bukanlah perkara yang boleh dipandang enteng.

Usaha melindungi data peribadi memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk kerajaan, pihak swasta dan orang ramai bagi memastikan ia dapat ditangani secara bersama.