KPDNHEP rampas barang kawalan RM1.7 juta

Melibatkan gula, minyak masak, tepung gandum, petrol dan diesel

Treler jenis Volvo yang ditahan dalam serbuan di sebuah stesen minyak Jalan Padang Enggang Pasir Hor di sini pada Ahad. - Foto Ihsan KPDNHEP
Treler jenis Volvo yang ditahan dalam serbuan di sebuah stesen minyak Jalan Padang Enggang Pasir Hor di sini pada Ahad. - Foto Ihsan KPDNHEP
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas barang kawalan iaitu gula, minyak masak, tepung gandum, petrol dan diesel yang keseluruhannya bernilai RM1.7 juta bermula 1 Januari hingga Ahad lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, rampasan dilakukan menerusi operasi bersepadu di sempadan negara dan sekitar daerah di Kota Bharu, Tumpat serta Pasir Mas.

Beliau memberitahu, rampasan petrol dan diesel bernilai RM72,146.50 itu juga berjaya mengekang aktiviti penyeludupan ke negara jiran.

“Sepanjang Januari hingga terbaru melibatkan 88 kes dengan sitaan membabitkan 38 buah kenderaan manakala 26 individu ditahan,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar pada Isnin.

Menurutnya, terkini dalam operasi bersepadu bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, Tumpat pada jam 11 malam Ahad berjaya menahan seorang pemandu treler jenis Volvo berusia 30-an di sebuah stesen minyak Jalan Padang Enggang Pasir Hor di sini.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kira-kira 372 liter diesel diisi oleh suspek dalam tangki diubah suai dan dianggarkan sebanyak 650 liter lagi diisi dalam tangki tambahan bernilai RM2,197.30.

“Modus operandi ialah melakukan pembelian diesel di beberapa stesen minyak dengan menggunakan tangki ubah suai berkapasiti besar untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Tangki diesel diubah suai bagi mengisi lebih banyak bahan bakar itu untuk tujuan penyeludupan. - Foto Ihsan KPDNHEP
Tangki diesel diubah suai bagi mengisi lebih banyak bahan bakar itu untuk tujuan penyeludupan. - Foto Ihsan KPDNHEP

Beliau berkata, bekalan bahan bakar itu dipercayai akan diseludup untuk dijual kepada pemborong di negara jiran melalui pangkalan haram.

“KPDNHEP Kelantan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan di sempadan negara bagi memastikan pengguna dapat menikmati harga sepatutnya yang ditawarkan, bekalan mencukupi serta peniaga mematuhi perundangan," katanya.

Sebarang maklumat atau aduan boleh disalurkan melalui portal e-aduan KPDNHEP, Call Centre 1-800-886-800, emel e-aduan@kpdnhep.gov.my, Ez ADU KPDNHEP dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245 atau Whatsapp 019-279 4317.