KJRI intai peluang penerbangan terus Indonesia-Pulau Pinang

Timbalan Datuk Bandar Kota Batu (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Konsul Ekonomi II KJRI Pulau Pinang, Aryadi Ramadhan (dua dari kanan) pada Famtrip East Java ke Kota Batu baru-baru ini.
Timbalan Datuk Bandar Kota Batu (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Konsul Ekonomi II KJRI Pulau Pinang, Aryadi Ramadhan (dua dari kanan) pada Famtrip East Java ke Kota Batu baru-baru ini.
A
A
A

SURABAYA – Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Pulau Pinang, dekat sini, berharap mengintai lebih banyak peluang penerbangan terus dari bandar utama di Indonesia ke Malaysia terutamanya Pulau Pinang untuk meningkatkan kemasukan pelancong bagi Malaysia dan Indonesia.

Konsul Ekonomi II KJRI Pulau Pinang, Aryadi Ramadhan memberitahu, pelbagai usaha mempromosikan lokasi pelancongan bagi kedua-dua negara diperhebat dan penyediaan perkhidmatan penerbangan terus perlu ditingkatkan selepas Malaysia dan Indonesia memudahkan perjalanan merentas negara.

Aryadi berkata, pihak berkepentingan ketika ini sedang melakukan perbincangan dalam usaha menambah lokasi penerbangan terus dari Indonesia ke Pulau Pinang.

“Sebelum pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, Malaysia adalah salah satu negara penyumbang terbesar ekonomi Indonesia melalui sektor pelancongan.

“Berdasarkan rekod, sebanyak 33 peratus keseluruhan pelancong ke Jawa Timur adalah dari Malaysia pada tahun 2019,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Famtrip East Java’ pada Ahad lepas.

Menurut Aryadi, pihak mereka berpandangan perkhidmatan penerbangan secara terus dari beberapa lokasi pelancongan di Indonesia ke Malaysia terutamanya Pulau Pinang diperlukan bagi memudahkan perjalanan rakyat kedua-dua negara terbabit.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan usaha berkenaan masih di peringkat perbincangan dengan syarikat penerbangan bagi melihat potensi lokasi bersesuaian untuk dimanfaatkan kedua-dua pihak berkaitan.

Tambah beliau, pihak mereka juga sedang dalam perbincangan dalam usaha menghidupkan semula perkhidmatan antara Pulau Pinang dengan Acheh, Indonesia yang dihentikan sebelum ini.

Bagaimanapun, Aryadi menjelaskan usaha untuk menghidupkan semula perkhidmatan feri berkenaan memerlukan koordinasi pelbagai pihak.

Dalam perkembangan sama, kata Aryadi, beliau percaya program seumpama itu yang dilaksanakan mampu memanfaatkan kedua-dua negara.

“Secara tidak langsung, ia tidak hanya menguntungkan Indonesia apabila pengunjung dari Indonesia datang ke Malaysia, malah masyarakat Indonesia juga sebenarnya banyak berkunjung ke Malaysia.

“Sebagai contohnya, masyarakat Indonesia sering berkunjung ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang untuk mendapat mendapatkan rawatan perubatan di bawah sektor pelancongan perubatan,” katanya.

Sebelum itu, Famtrip East Java selama lima hari ke Jawa Timur itu dianjurkan Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Pulau Pinang diketuai Konsul Ekonomi II KJRI Pulau Pinang, Aryadi Ramadhan bagi mempromosikan lokasi menarik di Jawa Timur, Indonesia.

Peserta Famtrip East Java bergambar kenangan di Savana Bekol, Taman Nasional Baluran.
Peserta Famtrip East Java bergambar kenangan di Savana Bekol, Taman Nasional Baluran.

Sinar Harian antara media Malaysia terpilih untuk dibawa meneroka keindahan alam semula jadi dan kesenian Jawa Timur seperti Surabaya, Kota Batu, Sidomulyo, Muzium Angkut, Taman Nasional Bromo-Tengger-Semeru, Taman Nasional Alas Purwo, Situbondo, Taman Nasional Baluran dan Banyuwangi, selain dipamerkan pertunjukkan Kebudayaan Arjuna Wiwaha.

Sementara itu, Pegawai Kebudayaan, Pelancongan dan Hubungan Antarabangsa Daerah Jawa Timur, Chandra Nurhidayat memaklumkan, ‘Famtrip East Java’ berkenaan dilaksanakan selepas kerajaan Indonesia membuka pintu sempadan mereka kepada pelancong luar pada Mac lepas.

Beliau memberitahu, Jawa Timur yang memiliki pelbagai lokasi pelancongan alam semulajadi dan kebudayaan sememangnya sudah bersedia menerima kedatangan lebih ramai pelancong khususnya dari Malaysia dan Pulau Pinang.

“Misalnya, terdapat kawasan tanah tinggi di Kota Batu yang membolehkan pelancong menikmati udara segar di puncak gunung dan peluang mengutip epal segar dari ladang, malah kita juga memiliki kesenian unik seperti pertunjukan Arjuna Wiwaha," katanya.

Mengulas lanjut, Chandra berkata, kerajaan Indonesia telah membuka lapangan terbang terpilih untuk pelancong ke negara terbabit dengan mengambil kira segala protokol seperti kebersihan dan keselamatan.

“Kami berharap dengan pembukaan penerbangan ke Indonesia dan juga peralihan fasa pandemik ke menuju endemik dimanfaatkan dengan betul untuk mempromosikan potensi lokasi menarik misalnya di Jawa Timur,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya setakat ini, hanya AirAsia Indonesia menawarkan penerbangan terus harian melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Surabaya dengan kekerapan sekitar dua penerbangan sehari sehala.