59 Rohingya ditemui lesu, kelaparan di pulau Satun

Pihak berkuasa memberikan makanan dan minuman kepada Rohingya yang ditemui di sebuah pulau di wilayah selatan Satun di Thailand. - Foto Bernama
Pihak berkuasa memberikan makanan dan minuman kepada Rohingya yang ditemui di sebuah pulau di wilayah selatan Satun di Thailand. - Foto Bernama
A
A
A

SATUN - Kira-kira 59 orang pendatang tanpa izin Rohingya termasuk lima kanak-kanak yang kelaparan dan lesu ditemui di sebuah pulau di wilayah selatan Satun di Thailand, berhampiran sempadan Malaysia pada Sabtu, kata pegawai.

Gabenor Satun, Ekkarat Leesen berkata, pegawai penguat kuasa menemui 31 lelaki, 23 wanita dan lima kanak-kanak yang kelaparan di pulau Koh Dong, yang merupakan sebahagian daripada Taman Laut Negara Tarutao.

"Mereka ditinggalkan di pulau itu tanpa makanan dan minuman. Mereka kelihatan sangat lemah kerana kelaparan dan dehidrasi,” katanya.

Ekkarat berkata, siasatan awal mendapati mereka adalah sebahagian daripada kumpulan 120 Rohingya yang meninggalkan Myanmar kira-kira dua bulan lepas sebelum mendarat di pulau itu kira-kira seminggu lalu.

"Kami dimaklumkan mereka (Rohingya) membayar RM5,000 (atau dalam baht) kepada sindiket untuk bekerja di Malaysia... ada di antara mereka didakwa telah meninggalkan pulau itu (Koh Dong) dan sudah masuk ke Malaysia,” katanya.

Sebahagian Rohingya yang ditemui di sebuah pulau di wilayah selatan Satun di Thailand, berhampiran sempadan Malaysia pada Sabtu. - Foto Bernama
Sebahagian Rohingya yang ditemui di sebuah pulau di wilayah selatan Satun di Thailand, berhampiran sempadan Malaysia pada Sabtu. - Foto Bernama

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis dan Pengarah Pusat Perlindungan Kanak-Kanak, Wanita, Keluarga, Antipemerdagangan Manusia dan Sektor Perikanan Pol. Jeneral Roy Ingkapairote berkata, siasatan sedang dijalankan.

"Unit khas ditubuhkan untuk menyiasat penyeludupan Rohingya tanpa dokumen,” katanya.

Media tempatan melaporkan bahawa pihak berkuasa menyediakan makanan dan minuman kepada Rohingya di pulau itu.

Sehingga kini, semua mereka telah menjalani saringan Covid-19. - Bernama