PBT diminta mudahkan penduduk bercucuk tanam

Ismail (tengah) menyempurnakan penyerahan replika cek bernilai RM3.04 juta Pertandingan Inovasi Mala 2.0 Piala Menteri KPKT selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (Mala) di UTC Perak pada Sabtu.
Ismail (tengah) menyempurnakan penyerahan replika cek bernilai RM3.04 juta Pertandingan Inovasi Mala 2.0 Piala Menteri KPKT selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (Mala) di UTC Perak pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mempermudahkan individu dan komuniti setempat yang mahu mengusahakan pertanian di kawasan kediaman mereka.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, kementerian itu mengalu-alukan komuniti setempat untuk terlibat mengusahakan tanah terbiar di kawasan kediaman mengikut undang-undang PBT.

Menurutnya, selagi usaha pertanian yang dilaksanakan mengikut peraturan dan tidak mengganggu kawasan komuniti, ia wajar diberi kebenaran.

"Kita memang menggalakkan orang ramai bercucuk tanam malah di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) ada kebun komuniti yang diusahakan penduduk setempat.

"Jika ada kawasan lapang yang sesuai, PBT boleh benarkan bercucuk tanam mengikut garis panduan ditetapkan. Saya sendiri sedia mengetuai program menggalakkan komuniti bercucuk tanam ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (Mala) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak," di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, PBT mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap premis atau bangunan tambahan yang dibina tanpa kelulusan.

Jelasnya, penguatkuasaan undang-undang itu diselaraskan di semua PBT mengikut undang-undang yang ditetapkan.

"Kita ada peraturan. Apabila penduduk melakukan perubahan sendiri, kita bimbang ia boleh menjejaskan struktur bangunan, sebab itu kita kawal.

"Kita harap rakyat jangan buat sesuka hati. Kita ada banyak agensi untuk meluluskan sebarang bentuk binaan bangunan. Kalau buat secara haram tindakan boleh diambil," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang merobohkan struktur tambahan yang dibina tanpa kebenaran membabitkan sebuah unit kediaman di Blok 4, Flat UTM, AU3/1, Ampang, baru-baru ini.

Menurutnya, kesalahan seperti itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 757 dan penguatkuasaan boleh dibuat oleh PBT sendiri.