Sanusi jangan selesa jadi ‘MB pintu belakang’, pulangkan mandat rakyat

Syed Mohd Johan Rizal dan Muhammad Sanusi
Syed Mohd Johan Rizal dan Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda UMNO Alor Setar mengingatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar tidak terlalu selesa dengan jawatan disandangnya itu memandangkan ia diperoleh melalui 'pintu belakang', bukannya melalui mandat rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, selaku pemimpin politik yang bertanggungjawab, Muhammad Sanusi seharusnya sedar bahawa demokrasi wajar dikembalikan kepada rakyat setelah dikhianati oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menurutnya, sehubungan itu, adalah tidak wajar untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu memperlekeh kemampuan parti lain yang berhasrat mahu mengadakan PRU15 lebih awal.

“Muhammad Sanusi dilantik ke jawatan Menteri Besar Kedah bukan sebab Pas menang PRU14 di Kedah. Beliau bernasib baik apabila berlaku huru-hara ketika kerajaan PH sebelum ini.

“Selain itu, Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya pula tewas di DUN Alor Mengkudu menyebabkan Muhammad Sanusi dilantik sebagai menteri besar berdasarkan hierarki parti,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, Syed Mohd Johan Rizal secara sinis berkata, ini bukan soal siapa atau parti mana yang boleh menang untuk ‘kalut’ (kelam-kabut) mengadakan pilihan raya, sebaliknya ia berkait dengan mandat rakyat yang dikhianati sebelum ini.

“Selesa sangatkah kerusi menteri besar itu yang diperoleh tanpa mandat rakyat? Empuk sangatkah kerusi itu menyebabkan Sanusi lupa pada prinsip demokrasi yang menetapkan sesebuah kerajaan ditadbir oleh pihak yang benar-benar diyakini dan diberi mandat oleh rakyat?

“Mungkin Sanusi seronok sangat jadi 'MB pintu belakang' hingga lupa pada tanggungjawab itu?,” soalnya.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia itu turut mengingatkan Muhammad Sanusi bahawa jawatan serta kedudukan politik yang ada bukan menjadi tiket untuk beliau lupa pada hak memilih oleh rakyat Kedah mahupun prinsip demokrasi dalam negara.

“Menafikan hak dan mandat rakyat itu akan ditanya Allah SWT di akhirat kelak. Lainlah jika Sanusi sendiri sudah kemaruk dengan kerusi empuk yang diperoleh secara percuma itu.

“Bukan soal siapa atau parti apa, namun lebih kepada sifat solidariti pemuafakatan parti yang membentuk sebuah kerajaan yang diyakini dan menjadi pilihan rakyat dalam sistem demokrasi berparlimen negara,” ujarnya.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, kestabilan politik dan kerajaan penting bagi pembangunan sesebuah negeri untuk mengembalikan kestabilan dalam sistem demokrasi berparlimen.

Pada Rabu, Muhammad Sanusi secara berseloroh mempersoalkan pihak yang sering mendesak agar PRU15 diadakan lebih awal, selain menyoal kemampuan parti mereka untuk memenangi pilihan raya akan datang.

Beliau turut mengulangi pendirian PRU15 wajar diadakan selepas tamat penggal, iaitu selepas Mei tahun hadapan.

Berikutan itu, katanya, keputusan kerajaan negeri Kedah kekal seperti Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan untuk tidak membubarkan DUN sehingga tamat penggal ini.