Pemandu BMW diserang sawan, 10 kereta terbabit kemalangan

Seorang pemandu kereta jenis BMW diserang sawan mengakibatkan kira-kira 10 buah kenderaan terlibat dalam kemalangan di Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Ayer Keroh di sini pada Jumaat malam.
Seorang pemandu kereta jenis BMW diserang sawan mengakibatkan kira-kira 10 buah kenderaan terlibat dalam kemalangan di Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Ayer Keroh di sini pada Jumaat malam.
A
A
A

MELAKA - Gara-gara seorang pemandu kereta jenis BMW diserang sawan, kira-kira 10 buah kenderaan terbabit dalam kemalangan di Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Ayer Keroh di sini pada Jumaat malam.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran @ Mohamad Zaki Omar berkata, dalam kejadian jam 9.14 malam, pemandu kereta mewah berusia 38 tahun berkenaan sedang berhenti di lampu isyarat di simpang empat Taman Chiptaco di jalan berkenaan.

Menurutnya, pemandu berkenaan kemudian tiba-tiba diserang sawan lalu tertekan pedal minyak dan melanggar beberapa kenderaan di hadapannya hingga mengakibatkan sembilan kenderaan lain turut terbabit dalam kemalangan.

Sembilan kenderaan lain terbabit ialah dua buah Perodua Myvi, Honda Jazz, Perodua Kenari, Perodua Viva, Perodua Alza, Toyota Corolla Altis, Nissan Frontier dan Proton Persona.

"Ketika itu, semua mangsa menunggu di simpang empat lampu berkenaan berhadapan sebuah pasar raya.

"Insiden itu menyebabkan kereta dipandu lelaki terbabit bergerak laju dan merempuh beberapa kenderaan lain yang sedang berhenti di hadapannya.

"Bagaimanapun, dia sekali lagi diserang sawan menyebabkan berlaku rempuhan kedua. Kemalangan ini turut menyebabkan pemandu BMW terbabit mengalami luka-luka," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Menurutnya, seramai enam mangsa termasuk pemandu dan penumpang berusia antara 20 hingga 73 tahun cedera ringan manakala pemandu sebuah kereta jenis Perodua Kenari, wanita berusia 20 tahun mengalami patah hidung.

Jelas beliau, kesemua mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.