Sungai Pendang capai paras bahaya

Anggota APM Pendang memantau paras air di kawasan Pendang yang dilanda banjir pada Jumaat.
Anggota APM Pendang memantau paras air di kawasan Pendang yang dilanda banjir pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Paras air di Sungai Pendang menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan paras bahaya mencecah 2.93 meter (m) berikutan hujan berterusan dari malam hingga awal pagi pada Khamis.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, paras air terus meningkat daripada 2.85m pada jam 12 tengah hari Jumaat kepada 2.92m pada jam 12 tengah malam Sabtu.

Beliau berkata, paras air di sungai terbabit didapati meningkat sekali lagi hingga mencapai paras 2.93m setakat jam 8 pagi Sabtu.

"Sehingga kini, tujuh kampung di daerah ini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga kerana dikhuatiri banjir berikutan paras air sungai yang semakin meningkat.

"Antara kampung terbabit termasuklah Belakang Balai Bomba Sukarela Pendang, Kampung Sukamari, Kampung Seberang, Kampung Banggol Kambing, Kampung Titi Kera, Kampung Alor Ali dan Kampung Banggol Besi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, berdasarkan pemantauan dari jam 7 pagi hingga 7.45 pagi, arus air di Sungai Pendang laju tetapi masih dalam keadaan terkawal.

"Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan dibuka kerana tiada mangsa yang terkesan mahu berpindah," katanya.