Lima kawasan di Pendang dinaiki air

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang memeriksa paras air di kawasan kediaman penduduk berikutan hujan berterusan hingga Khamis.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang memeriksa paras air di kawasan kediaman penduduk berikutan hujan berterusan hingga Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR – Lima kawasan di Pendang dinaiki air selepas paras air lembangan Sungai Kedah berada pada paras bahaya berikutan hujan berterusan pada lewat malam hingga pagi Khamis.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, antara kawasan terlibat ialah Kampung Sukamari, Kampung Seberang Pendang, Kampung Banggol Kambing, Kampung Hampar Kanan dan belakang Balai Bomba Sukarela Pendang.

"Bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka buat masa ini disebabkan tiada mangsa yang terkesan mahu berpindah.

“Berdasarkan pemantauan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang di kawasan berpotensi banjir, arus air laju tetapi masih dalam keadaan terkawal di Sungai Pendang.

“Bagi lokasi belakang Balai Bomba Sukarela Pendang, keadaan semasa menunjukkan air belum melepasi tebing sungai dengan paras air Sungai Pendang di paras 2.85 meter (m), namun tiada mangsa terlibat,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Tambah beliau, keadaan semasa di Kampung Sukamari mendapati air melepasi tebing sungai dan memasuki halaman rumah berdekatan tepi sungai namun hanya satu rumah terjejas.

“Bagi Kampung Seberang Pendang, keadaan semasa menunjukkan air melepasi tebing sawah dan memasuki dalam rumah berdekatan tepi sawah iaitu melibatkan dua rumah,” katanya.

Menurutnya, di Kampung Banggol Kambing dan Kampung Hampar Kanan juga tiada rumah penduduk terjejas walaupun air melepasi tebing sungai.

Yuslina memaklumkan pemantauan akan dibuat dibuat dari semasa ke semasa.