Mansuh PT3: Perkasa PBS untuk tangkis kegusaran ibu bapa

KPM diminta agar mempertimbang kembali keputusan memansuhkan PT3. - Gambar hiasan
KPM diminta agar mempertimbang kembali keputusan memansuhkan PT3. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang mengandungi tiga komponen iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi) perlu dimantap dan diperkasa bagi mengurangkan kebimbangan ibu bapa terhadap pemansuhan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, pemansuhan PT3 merupakan keputusan tepat oleh Kementerian Pendidikan (KPM) kerana jika dikekalkan, pihak sekolah akan tertumpu kepada sistem pengajaran untuk melatih pelajar menjawab soalan peperiksaan semata-mata.

Bagaimanapun, beliau berkata, ramai ibu bapa melahirkan kegusaran terhadap kaedah atau cara penilaian terhadap penguasaan akademik anak mereka susulan pemansuhan itu.

"Pihak KPM perlu meneliti sistem PBD supaya kepercayaan ibu bapa berada di tahap yang meyakinkan dan pelaksanaanya dari peringkat sekolah rendah betul-betul diyakini," katanya kepada Bernama pada Bernama

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Khamis, mengumumkan PT3 yang dilaksana sejak 2014 dimansuhkan mulai tahun ini dan pihak KPM akan memperkasa PBS.

Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, dengan pemansuhan PT3, budaya belajar untuk menduduki peperiksaan semat-mata berjaya ditangani.

"Persoalannya sekarang ialah sejauh mana keberkesanan pengajaran melalui intervensi dilakukan dan apakah rancangan seterusnya untuk meyakinkan ibu bapa bahawa pelajar yang ketinggalan akan mendapat perhatian sewajarnya seterusnya mencapai penanda aras ditetapkan,” katanya.

Naib Presiden MIC Kebangsaan, Datuk T Murugiah pula menyarankan KPM agar mempertimbang kembali keputusan memansuhkan PT3.

"Kita perlu memastikan kebolehan dan kesungguhan murid belajar dapat dinilai secara adil melalui kaedah pentaksiran yang seimbang antara murid demi masa hadapan mereka," menurutnya dalam kenyataan di sini.

Bagi Morni Wong Abdullah @ Wong Kheng Hing, 45, yang juga seorang guru Sekolah Menengah di Semporna, Sabah, beliau risau tiada apa yang boleh dibanggakan oleh pelajar sekiranya mereka melangkah keluar dari alam persekolahan selain hanya mengharapkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia.

Beliau berkata, ketiadaan PT3 akan menjadikan pelajar terlampau selesa kerana tiada peperiksaan awam yang besar selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan dan ia mungkin menyebabkan mereka kurang memberi tumpuan kepada ujian atau peperiksaan bulanan.

"Bila tiba masa untuk menduduki peperiksaan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains MARA, pelajar akan menjadi tidak begitu efektif sebab sudah ketinggalan pelajaran untuk tempoh yang agak lama,” katanya.

Habsah Ismail, 43, pula berkata, pemansuhan PT3 merupakan cabaran baharu kepada ibu bapa dan guru selain memerlukan penglibatan semua pihak bagi membolehkan pelajar menguasai pembelajaran di dalam kelas.

"Saya mempunyai anak yang berada di SBP di Kelantan, jadi sudah pasti saya mengharapkan guru-guru sebagai pembimbing utama dalam menilai kebolehan, kemahiran dan membuat taksiran terhadap anak kami.

"Pemansuhan ini pasti melegakan pelajar tetapi tidak bermakna mereka tidak dinilai dari semasa ke semasa, anak-anak perlu ada sasaran melangkah ke universiti dan alam kerjaya kelak,” katanya. - Bernama