Syarikat mengaku salah tipu saiz gred telur, denda RM15,000

Wakil syarikat (tengah) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.
Wakil syarikat (tengah) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Tindakan sebuah ladang yang memalsukan saiz gred telur pada tahun lalu, akhirnya menerima padah selepas didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.

Hakim, Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Ladang Ternakan Prudence Sdn. Bhd. diwakili pengarah syarikat itu yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut fakta kes, kesalahan itu dikesan selepas sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka membuat serbuan sebuah pasar raya dan mengesyaki telur ayam dilabelkan dengan gred B sebenarnya adalah gred D.

Pemeriksaan uji timbang dilakukan dan bacaan timbangan telur tersebut adalah antara 0.60 sehingga 0.65 gram di mana berat tersebut tidak mencukupi untuk dilabelkan dengan gred B.

Siasatan lanjut mendapati, kesemua bekalan telur itu telah diperolehi daripada Ladang Ternakan Prudence Sdn. Bhd.

Berdasarkan pertuduhan, syarikat terbabit didapati telah membekalkan 50 unit LTP Corn Egg Gred B 30’S yang menggunakan suatu perihal dagangan palsu berkaitan saiz telur ayam gred B yang tidak mengikut Malaysian Standard MS680:2013.

Perbuatan itu dilakukan pada jam 10.48 pagi di sebuah pasar raya di Malim pada 22 Oktober 2021.

Bagi kesalahan itu, syarikat terbabit didakwa mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan dibaca bersama Seksyen 6(1)(b) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(A) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM250,000 boleh dikenakan dan tidak lebih RM500,0000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya, jika sabit kesalahan.

Wakil syarikat memohon hukuman ringan dikenakan memandangkan ini merupakan kesalahan pertama yang dilakukan sepanjang 10 tahun menjalankan perniagaan selain berdepan dengan kos operasi tinggi disebabkan krisis ekonomi.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa KPDNHEP, Muhamad Ashraf Nashrudddin Ahmad Nazri memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman atau penjara tiga bulan jika gagal menjelaskan bayaran.