Anak lembu jatuh lubang diselamatkan

Tiga anggota APM Alor Gajah sedang melakukan kerja-kerja menyelamat anak lembu yang terjatuh ke dalam lubang air bertakung di Kampung Kelemak petang Khamis. (Gambar kecil: Anak lembu berusia setahun lebih berjaya diselamatkan.)
Tiga anggota APM Alor Gajah sedang melakukan kerja-kerja menyelamat anak lembu yang terjatuh ke dalam lubang air bertakung di Kampung Kelemak petang Khamis. (Gambar kecil: Anak lembu berusia setahun lebih berjaya diselamatkan.)
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang penternak cemas apabila anak lembu jantan berusia setahun lebih terjatuh dalam sebuah lubang sedalam kira-kira satu meter di Kampung Air Mentagor, Kelamak di sini, petang Khamis.

Isteri kepada penternak lembu itu, Nor Fatin Mustafa, 30, berkata, sebelum kejadian jam 5 petang suaminya menghalau sekumpulan lembu milik mereka dari kawasan berkenaan untuk pulang ke rumah.

Menurutnya, setiba di rumah, dia mendengar bunyi bising seekor ibu lembu dan kemudian menyedari seekor anak lembu telah hilang.

"Suami pergi semula ke kawasan kilang terbabit dan mendengar suara anak lembu dari bawah lubang yang mengandungi air bertakung.

"Kami cuba untuk mengeluarkan anak lembu sendiri namun tidak berjaya sebelum saya menghubungi APM," katanya.

Sementara itu Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian jam 5.45 petang sebelum kerja-kerja menyelamatkan anak lembu diselesaikan pada jam 6.15 petang dengan menggunakan tali.