Tiada 'dateline' MoU berhubung sokongan terhadap PM: Annuar

Annuar ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital, Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK) di sini, pada malam Khamis.
Annuar ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital, Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK) di sini, pada malam Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tiada tarikh tamat Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) berhubung sokongan pihak pembangkang terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU, Tan Sri Annuar Musa berkata, ramai pihak salah faham mengenai MoU itu bahawa ia akan tamat.

"MoU tidak tamat, banyak orang silap faham. MoU tidak ada 'dateline'. Yang ada itu tarikh pilihan raya dipersetujui sebelum akhir Julai.

"Tetapi MoU antara ahli-ahli Parlimen, termasuk pembangkang dengan kerajaan khususnya Perdana Menteri tidak ada tarikh tamat dan ia satu MoU memberi sokongan kepada Perdana Menteri sehingga Parlimen dibubarkan.

"Fakta itu elok difahami yang ada 'dateline' itu satu persefahaman Parlimen tidak akan dibubar sebelum 31 Julai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital, Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK) di sini, pada malam Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita adakah kesiapsiagaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) termasuk selepas tamatnya MoU bersama pihak pembangkang.

Jelasnya beliau lagi, sokongan terhadap Perdana Menteri daripada parti kerajaan dan pembangkang adalah sehingga Parlimen dibubarkan.

"Jadi bila Parlimen dibubarkan, ia terpulang kepada Perdana Menteri dan juga pemimpin politik itu yang menentukan," katanya.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Ketereh itu turut bersetuju supaya PRU15 tidak terlalu lewat atau awal diadakan kerana mengambil kira banyak sudut.

"Saya bersetuju, tidak harus terlalu lewat supaya kita tidak terlalu memberi kelebihan kepada pihak-pihak yang bersaing dengan kita.

"Pada masa sama, kita tidak boleh terlalu awal dan kalau sebenarnya kita belum bersiap siaga. Sebab itu saya sependapat dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Perdana Menteri yang bersetuju ia perlu disegerakan, tak perlu dilewatkan sebaik saja kita bersedia," katanya.