Tapak pelupusan sampah haram di Bandar Mahkota Cheras ditutup

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menutup tapak pelupusan sampah haram yang menjadi punca pencemaran bau busuk di Bandar Mahkota Cheras pada 31 Mei lepas.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, kes itu telah diserahkan kepada MPKj dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat untuk diambil tindakan di bawah bidang kuasa agensi berkenaan.

Beliau berkata, operasi penutupan tapak yang dijadikan tempat pelupusan haram bahan binaan dan sampah domestik itu disertai Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, Ahli Majlis MPKj, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat.

"Air kolam takungan didapati berwarna hitam, berbau busuk dan dipenuhi dengan sampah sarap. Ujian ke atas kualiti air kolam takungan mendapati air bersifat alkali dengan kadar oksigen yang sangat rendah akibat daripada aktiviti pelupusan sisa domestik tersebut,” katanya.

Wan Abdul Latiff berkata, aktiviti pelupusan sisa pembinaan dan sampah domestik adalah tertakluk di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi Jadual Kedua Aktiviti 14: Pengolahan dan Pelupusan Buangan, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015.

Katanya, oleh itu, aktiviti berkenaan boleh diambil tindakan atas kesalahan tiada kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Beliau berkata, hasil siasatan JAS pula mendapati tiada pelupusan buangan terjadual dan aktiviti pembakaran terbuka yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 di tapak pelupusan sampah haram itu.

Wan Abdul Latiff berterima kasih kepada orang awam kerana memberi maklumat berkenaan kejadian itu dan menyeru orang ramai agar melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. - Bernama

Artikel Berkaitan: