Laluan tapak sampah haram 'Black Lake' ditutup

A
A
A
KAJANG - Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menutup laluan masuk ke sebuah tasik bekas kuari yang dipanggil 'Black Lake' berdekatan Seksyen 5 Bandar Mahkota Cheras yang dijadikan tapak pembuangan sampah haram.

Pegawai Perhubungan Awam, Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman berkata, anggota penguat kuasa akan ditempatkan di lokasi itu bagi pemantauan berkala.

Selain itu katanya, MPKj sedang mengenal pasti pemilik tanah persendirian itu untuk melakukan pemulihan tanah.

"Aktiviti pembuangan sampah haram itu dikesan sejak Disember lalu namun keadaannya semakin teruk dua bulan kebelakangan ini.

"Sebanyak enam lori telah disita dalam tempoh dua bulan dan pemantauan berterusan akan dilakukan bagi mengatasi aktiviti pembuangan sampah haram itu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, seorang pengguna, Rozie Roziah telah berkongsi keadaan pencemaran di kawasan itu di Facebook Komuniti Bandar Mahkota Cheras.

Pemantauan di lokasi tapak sampah haram pada Selasa.
Pemantauan di lokasi tapak sampah haram pada Selasa.

Wanita itu memberitahu, seluruh Bandar Mahkota Cheras menghirup udara kotor disebabkan aktiviti pembuangan sampah haram itu.

"Apa dah jadi? Tergamak, tamak dan pentingkan diri sendiri.

"Hari ini (Selasa) seluruh Bandar Mahkota Cheras menghirup udara kotor. Bayangkan bagi yang tinggal berhampiran lokasi, yang ada anak-anak kecil, warga tua dan yang berpenyakit asma," kongsinya.

Sementara itu, Menteri Akan Sekitar dan Air (KASA), Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemilik tanah tersebut akan dikenakan tindakan.

Menurutnya, pengukuran ke atas air kolam hitam dan berbaik busuk itu didapati oksigen terlarut (D.O) kurang daripada 3mg/l dan pH 7.