Larikan anak: Bapa saman bekas isteri, kerajaan

Seorang bapa memfailkan saman terhadap bekas isterinya, kerajaan dan lima pihak lagi berhubung dakwaan dua anaknya dilarikan ke New Zealand, empat tahun lalu.di Mahkamah Tinggi di sini pada 10 Mei lalu
Seorang bapa memfailkan saman terhadap bekas isterinya, kerajaan dan lima pihak lagi berhubung dakwaan dua anaknya dilarikan ke New Zealand, empat tahun lalu.di Mahkamah Tinggi di sini pada 10 Mei lalu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bapa memfailkan saman terhadap bekas isterinya, kerajaan dan lima pihak lagi berhubung dakwaan dua anaknya dilarikan ke New Zealand, empat tahun lalu.

Mohd Saleem Mohammad Aslam, 35, dan kakaknya yang juga ibu saudara kepada dua kanak-kanak itu, Kalsum Mohammad Aslam, 38, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Haziq A Subhi & Co di Mahkamah Tinggi di sini pada 10 Mei lalu dengan menamakan bekas isterinya, Faith Kimberly Hepburn @ Ashalina Hepburn Abdullah sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Pengarah Imigresen (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIA), Jabatan Imigresen Malaysia, pegawai imigresen, Sifulan Abdullah; kerajaan Malaysia dan peguam Jennifer Jayalitha Chandran.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, kedua-dua plaintif mendakwa kecuaian oleh Ketua Pengarah Imigresen (defendan pertama), Pengarah Imigresen (defendan kedua) dan Jabatan Imigresen Malaysia (defendan ketiga) berlaku apabila plaintif-plaintif mendapati bahawa dua kanak-kanak itu telah dilarikan Hepburn (defendan ketujuh) keluar dari Malaysia tanpa sebarang justifikasi dan dokumen rasmi yang sah, selain dokumen yang digunakan mengandungi pemalsuan beberapa maklumat.

Anak lelaki mereka kini berusia 10 tahun manakala anak perempuan berusia lapan tahun.

Plaintif mendakwa selepas dua kanak-kanak itu hilang daripada jagaan mereka, dua laporan polis telah dibuat dan telah dimaklumkan kepada defendan pertama hingga ketiga sebagai makluman awal kerana dikhuatiri kanak-kanak tersebut dibawa lari keluar negara oleh Hepburn dan kekasihnya, Atabek Yechshanov, seorang warga Kazakhstan.

"Kegagalan dan kecuaian berikutnya dapat dilihat apabila defendan pertama hingga ketiga serta defendan keempat (Sifulan) telah membenarkan dua kanak-kanak itu keluar dari negara dengan menggunakan pasport di bawah negara New Zealand tanpa sebarang pemeriksaan terperinci mengenainya.

"Kerajaan Malaysia selaku defendan kelima telah gagal, enggan atau cuai apabila membenarkan kejadian serta kecuaian yang dilakukan oleh defendan pertama hingga keempat,” dakwa kedua-dua plaintif menerusi pernyataan tuntutan itu.

Selain itu, plaintif-plaintif mendakwa, Jennifer Jayalitha telah bertindak cuai apabila gagal mendapatkan maklumat penuh daripada Hepburn kerana semasa permohonan penukaran kewarganegaraan dibuat, wanita itu dan bekas suaminya masih lagi dalam prosiding Mahkamah Syariah yang bermula sejak 2016.

Dakwa kedua-dua plaintif, Hepburn telah memalsukan tangan tangan bekas suaminya dalam borang permohonan penukaran kewarganegaraan tersebut dan tanda tangan itu tidak disemak oleh Jennifer Jayalitha selaku peguamnya.

"Akibat kecuaian itu, plaintif-plaintif dan keluarga telah berhadapan dengan pelbagai kesusahan dan telah kerugian banyak kos, masa, tenaga dan sumber kewangan kerana perlu menyelesaikan tuntutan hak jagaan di mahkamah di New Zealand dan kesemua ini adalah berpunca daripada kesan kecuaian dan kegagalan kesemua defendan,” dakwa plaintif-plaintif.

Oleh itu, plaintif-plaintif antaranya menuntut perintah ganti rugi am sebanyak RM25 juta daripada defendan pertama hingga kelima selain ganti rugi am daripada defendan keenam dan ketujuh untuk ditaksirkan oleh mahkamah.

Turut dituntut ganti rugi khas RM404,265.39 daripada kesemua defendan, ganti rugi tauladan dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi R. Pushparasi pada 22 Jun ini. - Bernama