Bukit Golan: Trump pemimpin dunia hipokrit!

Trump Foto: AP
Trump Foto: AP
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump merupakan pemimpin yang hipokrik selepas tindakannya menandatangani pengisytiharan Bukit Golan sebagai milik negara haram, Israel.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ia berbeza dengan pendirian Trump sebelum ini di mana beliau begitu lantang menentang penaklukan wilayah Crimea oleh Rusia pada 2014.

“Secara jelas pendirian Trump dalam isu penaklukan Bukit Golan bersifat hipokrit.

“Jika dahulu mereka paling lantang menentang penaklukan wilayah Crimea oleh Rusia pada tahun 2014 namun kini boleh tersenyum sinis sambil menandatangan pengiktirafan Israel ke atas Bukit Golan dengan alasan tidak masuk akal kononnya kawasan tersebut berpotensi dijadikan sebagai kawasan pelancaran serangan,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Sungguhpun negara Syria baharu pulih pasca kekalahan kumpulan militan ISIS, Syed Ibrahim berkata, rampasan Bukit Golan oleh rejim Zionis akan menyebabkan kemelut di Asia Barat kembali memuncak.

Malah katanya, Damsyik menyifatkan tindakan Trump sebagai pencabulan terhadap kedaulatan wilayah Syria dan bakal menjadikan Amerika sebagai musuh bagi seluruh masyarakat Arab.

Hakikatnya menurut Syed Ibrahim, undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia hanyalah peraturan yang selalu dibakulsampahkan oleh Amerika Syarikat dan rejim Israel dengan menganggap ia sebagai perkara picisan.

Justeru katanya, Malaysia membantah keras penaklukan Bukit Golan oleh rejim Israel dan akan turut bersama negara-negara lain berjuang bagi menegakkan keadilan dan kesaksamaan terhadap negara yang ditindas.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama beliau berkata, Malaysia akan turut bersama mempertahankan hak rakyat Palestin tanpa mengira agama sama ada Islam, Kristian mahupun Yahudi dengan memberi pengiktirafan penuh Palestin sebagai sebuah negara.

“Tragedi pengeboman besar-besaran rejim Zionis terhadap penduduk Palestin wilayah Gaza sangat memilukan dan menjadi bukti keangkuhan pihak rejim yang bersifat tidak berperikemanusiaan.

“Secara jelas tindakan mereka melanggar peraturan keselamatan yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.