Pemimpin dunia ucap tahniah kepada Erdogan

Para penyokong meraikan kejayaan Erdogan di Istanbul. - Foto AFP
Para penyokong meraikan kejayaan Erdogan di Istanbul. - Foto AFP
A
A
A

RECEP Tayyip Erdogan berjaya dipilih semula sebagai presiden Turkiye, umum pengerusi Majlis Pilihan Raya (YSK), Ahmet Yener.

Beliau berkata, Erdogan mempertahankan jawatan presiden selepas mengatasi pencabarnya Kemal Kilicdaroglu dalam pilihan raya penentu yang diadakan pada Ahad.

Menerusi beberapa saluran media sosial, para pemimpin dunia menzahirkan ucapan tahniah kepada Erdogan, dengan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berharap untuk terus bekerjasama dalam pelbagai isu termasuk berkaitan isu dua hala dan cabaran global.

Presiden Rusia Vladimir Putin menghargai sumbangan Erdogan untuk mengukuhkan hubungan "akrab" antara Moscow dan Ankara dan menyatakan kesediaan beliau untuk meneruskan "dialog membina" dalam agenda dua hala, serantau dan antarabangsa.

Perdana Menteri Britain Rishi Sunak yang turut mengucapkan tahniah kepada Erdogan berkata: "Saya berharap untuk meneruskan kerjasama yang kukuh antara negara kita.”

Sementara itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengucapkan tahniah kepada Erdogan dan berkata: "Kami akan terus maju bersama."

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pula "tidak sabar untuk terus membina hubungan Kesatuan Eropah (EU)-Turkiye."

"Adalah kepentingan strategik bagi kedua-dua EU dan Turkiye untuk berusaha memajukan hubungan ini, untuk manfaat rakyat kita," tulisnya di Twitter.

Sementara itu, Agensi Berita Emirates (WAM) melaporkan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Erdogan.

Dalam perbualan telefon dengan Erdogan, Sheikh Mohamed mendoakan Erdogan akan berjaya dalam memimpin negara dan merealisasikan aspirasi rakyat ke arah kemajuan serta kemakmuran.

Presiden UAE itu turut menzahirkan harapan untuk terus menjalinkan kerjasama bagi mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dan perkongsian strategik untuk manfaat rakyat. - Bernama-Anadolu-WAM