Kes jenayah di Batu Pahat menurun

Azhan
Azhan
A
A
A

BATU PAHAT - Kes jenayah di daerah ini dari Januari hingga 23 Mac lalu menunjukkan penurunan berbanding 131 kes berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 151 kes.

Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, pada tiga bulan pertama tahun ini, terdapat dua kes jenayah yang meningkat iaitu jenayah kekerasan sebanyak 10 kes berbanding empat kes pada tempoh sama tahun lalu.

"Manakala bagi jenayah kecurian motosikal juga turut menunjukkan peningkatan sebanyak 48 kes pada tiga bulan pertama ini berbanding 42 kes pada tempoh sama tahun lalu," katanya kepada pemberita semasa sidang media di IPD Batu Pahat, semalam.

Menurutnya, bagi kes melibatkan jenayah harta benda pula, 26 kes direkodkan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini dan kes tersebut menurun lapan kes berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 34 kes.

Katanya, kadar penyelesaian kes pada tiga bulan pertama ini juga 69.61 peratus iaitu 54.96 peratus bagi kes indeks manakala bagi kes pertuduhan bagi Januari hingga 23 Mac 2019 pula 46.64 peratus.

"Antara kes jenayah lain yang mencatatkan penurunan sepanjang Januari hingga 23 Mac lalu adalah jenayah samun berkawan tanpa bersenjata api, pecah rumah, curi kereta, ragut manakala tiada kes direkodkan bagi jenayah bunuh, rogol, samun bersenjata api dan samun berkawan bersenjata api. "Kejayaan keseluruhan bagi IPD Batu Pahat pada tahun lalu adalah penurunan kes indeks sebanyak tujuh kes iaitu 13.25 peratus dengan kadar pertuduhan tertinggi jika dibandingkan dengan 12 daerah lain dalam kontinjen Johor iaitu 56 peratus," katanya.

Sementara itu, statistik jenayah komersial dari Januari hingga 20 Januari 2019 di daerah ini juga meningkat 20 kes dengan jumlah kerugian RM170,720.80 berbanding 11 kes dengan jumlah kerugian RM160,846.52 pada tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, antara kes jenayah komersial yang meningkat adalah kes pinjaman tidak wujud dengan 10 kes berbanding empat kes pada tempoh sama pada tahun lalu dengan kerugian RM124,766.80.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kes penipuan pembelian melalui internet pula, sebanyak lima kes dicatatkan berbanding tempoh sama pada tahun lalu dengan kerugian sebanyak RM12,790 manakala hanya satu jenayah Macau Scam yang dikesan sepanjang tempoh ini dengan kerugian RM4,000.

"Manakala penipuan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) pula sebanyak empat kes dikesan dengan jumlah kerugian RM29,164 dan pada tempoh sama tahun lalu, kes ini tidak dilaporkan," katanya.

Menurutnya, beliau juga meminta orang awam jangan mudah terperdaya dengan sindiket penipuan ini dan mereka yang ingin melakukan transaksi boleh menyemak nombor akaun penerima di ccid.rmp.gov.my/semakmule.

Katanya, orang ramai juga diingatkan jangan sesekali mudah memberi maklumat berkaitan peribadi terutamanya nombor akaun bank sekiranya diminta oleh individu tidak dikenali termasuk yang memperkenalkan diri sebagai wakil pihak berkuasa.