Peniaga akur larangan penjualan telur penyu bermula hari ini

Hairul Effendy (tiga dari kanan) memberi penerangan tentang larangan penjualan telur penyu berkuat kuasa 1 Jun kepada Rakiah di Pasar Besar Kedai Payang pada Rabu. Gambar kecil: Hazwani.
Hairul Effendy (tiga dari kanan) memberi penerangan tentang larangan penjualan telur penyu berkuat kuasa 1 Jun kepada Rakiah di Pasar Besar Kedai Payang pada Rabu. Gambar kecil: Hazwani.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Peniaga telur penyu dan tuntung laut di Terengganu akur dengan undang-undang baharu kerajaan negeri yang mengharamkan penjualan makanan eksotik itu berkuat kuasa 1 Jun.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Besar Kedai Payang di sini pada Rabu mendapati, semua peniaga tidak lagi menjual telur penyu dan tuntung laut secara terbuka sebagaimana sebelum ini.

Seorang peniaga, Rakiah Abdullah, 61, yang sudah 20 tahun berniaga telur penyu berkata, walaupun agak kecewa, namun beliau tetap mematuhi arahan tersebut bagi mengelak dikenakan tindakan.

"Memang sentiasa ada orang datang cari tapi kita kena akur dengan arahan. Semalam hari terakhir saya jual sebanyak 20 biji telur penyu kepada pelanggan," katanya yang sebelum ini mampu menjual 10 biji telur penyu sehari dengan harga antara RM4 hingga RM10 sebiji.

Seorang lagi peniaga, Hazwani Mat Zain, 35, berkata, beliau sudah menghentikan penjualan telur penyu sejak Ramadan lalu selepas dimaklumkan tentang penguatkuasaan undang-undang baharu berkenaan.

Katanya, walaupun ramai pelanggan terutama dari luar Terengganu datang mencari telur penyu, namun beliau tidak mahu mengambil risiko menjual makanan tersebut.

"Agak terjejas juga dengan larangan ini tapi kita akur kerana hukuman yang dikenakan berat," katanya yang merupakan generasi ketiga menjual telur penyu di Pasar Kedai Payang.

Sementara itu, Pegawai Perikanan Unit Perlindungan Sumber, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Hairul Effendy Adzmi yang turun padang melakukan pemantauan di pasar itu bersama penguat kuasa berpuas hati apabila tiada peniaga menjual telur penyu.

Bagaimanapun menurut Hairul Effendy, pihaknya akan menggunakan taktik penyamaran untuk memantau penjualan semua spesies telur penyu dan telur tuntung di pasaran berkuatkuasa 1 Jun.

"Kehadiran pegawai penguat kuasa tanpa pakaian uniform adalah penting untuk memastikan tiada peniaga yang masih berani menjual makanan eksotik itu walaupun secara bersembunyi.

"Selain pasar, pemantauan juga akan dilakukan secara konsisten di kedai-kedai makan dan jualan dalam talian," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di pasar berkenaan.

Pada November tahun lepas, kerajaan Terengganu telah meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri untuk mengelakkan kepupusan hidupan marin yang semakin terancam itu.

Pindaan itu antara lain akan mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan penyu dengan menetapkan kadar denda yang lebih tinggi terhadap kesalahan kacau ganggu dan membunuh penyu iaitu RM50,000 hingga RM250,000 atau penjara tidak kurang setahun atau kedua-duanya sekali.