Syor wujud badan diaspora kumpul pakar tempatan di luar negara

Laporan muka hadapan Sinar Harian pada Selasa.(Gambar kecil) Dr Ahmad Syahid Ahmad Fawzal
Laporan muka hadapan Sinar Harian pada Selasa.(Gambar kecil) Dr Ahmad Syahid Ahmad Fawzal
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewujudkan badan diaspora yang mengumpulkan pakar yang berada di luar negara untuk bekerjasama dengan badan tempatan.

Pakar Dinamik Bendalir dan Pemindahan Haba, Dr Ahmad Syahid Ahmad Fawzal berkata, kerajaan perlu mengambil kelebihan mereka yang berada di luar itu untuk menjadi agen ilmu supaya Malaysia maju ke hadapan.

“Mereka ini boleh dijadikan sebagai sebagai pembantu dalam membuat polisi negara atau penasihat badan berkaitan dengan kepakaran masing-masing.

“Barulah kepakaran-kepakaran yang ada tidak tiris sebaliknya dirangsang dengan diguna pakai,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Selasa.

Sinar Harian melaporkan Malaysia telah kehilangan kira-kira 500,000 rakyat berkemahiran tinggi dan berbakat dalam bidang profesional kerana mereka memilih untuk bekerja di luar negara sejak 40 tahun lalu.

Mengulas lanjut beliau berkata, selain daripada melihat migrasi rakyat Malaysia sebagai fenomena ‘brain drain’, mereka perlu melihat isu itu sebagai suatu pembuktian anak Malaysia mampu bersaing di mata dunia.

“Terselit pula muka saya kat halaman utama akhbar dengan tajuk ‘Hilangnya 500,000 pakar’. Tapi, Insya-ALLAH Malaysia tidak kehilangan saya.

“Alasan saya untuk bekerja di luar negara adalah kerana nak ambil ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin dis ini (United Kingdom) dan cuba salurkan kembali ke Malaysia.

“Saya tak kejar gaji, tak kejar faedah atau gaya hidup,” ujarnya.

Tangkap layar ciapan Twitter Dr Ahmad Syahid pada Selasa
Tangkap layar ciapan Twitter Dr Ahmad Syahid pada Selasa

Dalam pada itu, Syahid berkata, keberadaan diri bukan lagi jadi penghalang untuk beliau berkhidmat atau berbakti kepada negara terutama di zaman Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Ujarnya, walaupun beliau berada luar negara, beliau akan sentiasa mencari peluang untuk kerjasama dalam membantu industri automotif dan sukan permotoran Malaysia.

“Setakat ini saya menjadi penasihat teknikal untuk beberapa SME (syarikat kecil dan sederhana) bagi membantu mereka meningkatkan taraf kefahaman teknikal dan memperkenalkan teknologi simulasi dalam penghasilan produk.

“Saya sentiasa berhubung rapat dengan beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia dan kini dilantik menjadi penasihat industri untuk kejuruteraan automotif di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI) dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Masjid Tanah.

“Aktif kat media sosial ni pun antara usaha saya untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan masyarakat di Malaysia kerana itu tulisan-tulisan saya guna Bahasa Malaysia dan bukannya Bahasa Inggeris

“Ini semua adalah usaha saya untuk membalas jasa Malaysia yang telah membawa saya ke tahap ini. Terima kasih Malaysia dan jangan segan-segan untuk hubungi saya untuk berkolaborasi,” katanya.