16,145 kes demam denggi direkodkan sehingga kini

Jumlah kes demam denggi ialah 1,420 berbanding 1,074 kes meningkat sebanyak 346 kes pada Minggu Epidemiologi ke-20 tahun 2022. - Foto 123rf
Jumlah kes demam denggi ialah 1,420 berbanding 1,074 kes meningkat sebanyak 346 kes pada Minggu Epidemiologi ke-20 tahun 2022. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pada Minggu Epidemiologi ke-20 tahun 2022, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan ialah 1,420 berbanding 1,074 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 346 kes (32.2 peratus). Ini merupakan jumlah kes tertinggi pernah dilaporkan sejak tahun 2021.

Tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-20 tahun 2022.

Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini ialah sebanyak 16,145 kes berbanding 10,597 kes bagi tempoh sama tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 5,548 kes (52.4 peratus) manakala sebanyak sembilan (9) kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding lima (5) kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2021.

Sebanyak 41 lokaliti 'hotspot' dilaporkan pada minggu ini berbanding 36 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 36 lokaliti 'hotspot' berada di Negeri Selangor, tiga (3) lokaliti hotspot di WPKL & Putrajaya dan masing-masing satu (1) lokaliti hotspot di Melaka serta Sabah. (Lampiran B & D).

Dalam keadaan penularan jangkitan demam denggi yang tinggi ketika ini, setiap lapisan masyarakat perlu bertindak proaktif dengan memastikan persekitaran premis kediaman, tempat kerja dan sebagainya bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Jawatankuasa Penduduk, Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Board - JMB), Rukun Tetangga atau pihak berwajib diminta menggerakkan komuniti untuk segera melakukan aktiviti Cari dan Musnah pembiakan nyamuk Aedes.

Selain itu, gunakan kaedah pencegahan seperti repelan serta semburan aerosol di tempat tersembunyi di dalam premis untuk membunuh nyamuk dewasa. Lindungi diri, keluarga dan komuniti kita. Jangan jadi mangsa demam denggi. Tiada Aedes, tiada Denggi, Chikungunya, dan Zika. - Bernama