RM24.7 juta lesap akibat penipuan firma klon: SC

Sebahagian besar ejen digunakan bagi menarik mangsa, berkongsi pelaburan menerusi aplikasi sembang WhatsApp sebaik mangsa menekan pautan yang diberikan. - Foto 123rf
Sebahagian besar ejen digunakan bagi menarik mangsa, berkongsi pelaburan menerusi aplikasi sembang WhatsApp sebaik mangsa menekan pautan yang diberikan. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Selasa mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya RM24.7 juta berkemungkinan ‘lesap’ ke tangan dalang atau perancang utama penipuan firma klon.

Penemuan itu berdasarkan hasil siasatan SC ke atas 10 penipuan terbabit dan berdasarkan semakan yang melibatkan sejumlah 154 penyata bank.

Dalam kenyataan pada Selasa, SC berkata, modus operandi penipuan firma klon itu adalah dengan menyasarkan mangsa (pelabur) yang sanggup menyerahkan sejumlah kecil wang dan mengharapkan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

Penipuan firma klon itu lazimnya adalah syarikat yang menyamar sebagai sebuah entiti sah atau berlesen, termasuk mengumpan mangsa dengan menyalahgunakan nama serta logo syarikat senaraian awam (PLC), butiran kelayakan korporat dan laman sesawang untuk memperdaya pelabur dan mencuri dana.

"Oleh kerana sebahagian besar daripada mangsa hanya kehilangan sebahagian kecil wang, ramai yang sebaliknya enggan tampil untuk bekerjasama dengan SC,” katanya.

Taktik yang sering digunakan termasuk memaparkan iklan-iklan di media sosial bagi memperdaya pelabur dengan pakej pelaburan yang kononnya dapat menjamin pulangan tinggi dan seolah-oleh diuruskan oleh perantara atau orang tengah berlesen.

Menurut SC, selain daripada itu, sebahagian besar ejen turut digunakan bagi menarik mangsa, berkongsi pelaburan menerusi aplikasi sembang WhatsApp sebaik mangsa menekan pautan yang diberikan.

"Mereka kemudiannya meminta mangsa memasukkan wang bagi skim pelaburan itu ke dalam akaun bank yang dikendalikan oleh pemegang akaun keldai bagi tujuan pengubahan dan menyeleweng hasil atau wang haram yang diterima.

"Dalam siasatan ini, sekurang-kurangnya 32 pemegang akaun keldai telah dikenal pasti membantu dalang penipuan itu,” katanya.

SC berkata, pengendali terbabit juga berupaya meraih sejumlah besar wang haram berdasarkan jumlah mangsa yang ramai.

Malah, dalam satu kes penipuan itu, sekurang-kurangnya RM3.6 juta telah disalurkan ke dalam satu akaun bank keldai dalam tempoh enam bulan.

Daripada sebanyak 24 mangsa yang dikenal pasti, 15 orang enggan bekerjasama dengan SC selaku pengawal selia.

"SC sedang dalam proses meneliti bukti yang ada serta mempertimbangkan pilihan penguatkuasaan yang bersesuaian,” katanya.

Sehubungan itu, suruhanjaya terbabit mengingatkan para pelabur untuk lebih berwaspada serta meneliti sebarang peluang pelaburan seperti menyemak kesahihan mana-mana individu atau entiti yang menawarkan pelaburan skim yang dihebahkan menerusi media sosial dan WhatsApp.

Para pelabur juga dinasihati agar tidak memasukkan wang ke dalam akaun peribadi individu apabila diminta berbuat demikian.

"Mereka juga digesa merujuk Senarai Makluman Pelabur SC bagi mendapatkan maklumat mengenai laman sesawang tidak sah, produk dan syarikat pelaburan serta individu.

"Pelabur juga boleh menghubungi Pejabat Pengguna dan Pelabur SC di talian 03-6204 8999 atau e-mel aduan@seccom.com.my bagi melaporkan sebarang penipuan yang meragukan,” katanya. - Bernama