Rumah Pam Kemubu Tiga atasi gangguan bekalan air musim kemarau

Nik Roslan (dua dari kiri) bersama Kamarudin (empat dari kanan) memotong kek pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KADA di Kota Bharu pada Isnin.
Nik Roslan (dua dari kiri) bersama Kamarudin (empat dari kanan) memotong kek pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KADA di Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Pembinaan Rumah Pam Kemubu Tiga bernilai RM34 juta merupakan pelan jangka panjang Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dalam membantu menyelesaikan masalah gangguan bekalan air ke petak-petak sawah di bawah seliaan agensi itu sepanjang musim kemarau.

Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Nik Idris berkata, kerja-kerja pembinaan rumah pam yang sudah mendapat kelulusan kerajaan itu dijangka bermula selewat-lewatnya hujung tahun ini.

"Kerja-kerja reka bentuk projek ini sudah bermula dan proses tender dijangka akan berlaku dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KADA di sini pada Isnin.

Hadir sama Pengerusi KADA, Datuk Kamarudin Md Nor dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Menurutnya, rumah pam itu mampu membekalkan air dari Sungai Kelantan walaupun pada musim kemarau yang tidak dapat dilakukan oleh rumah pam Kemubu Satu dan Dua sebelum ini.

Beliau berkata, pembinaan rumah pam ini mengambil masa selama dua tahun untuk siap sepenuhnya.

Nik Roslan berkata, sebagai langkah awal berdepan musim kemarau untuk musim 1/ 2022 KADA menyediakan pam jenis mudah alih dan 'back-work' untuk membantu para petani.

"KADA mempunyai kira-kira 300 biji pam kedua-dua jenis ini yang mampu membantu para petani menghadapi kemarau.

"Selain itu, kita turut membina telaga tiub untuk memastikan petak-petak sawah mempunyai bekalan air yang cukup untuk kerja-kerja tanaman padi," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya lega hujan yang turun agak banyak ketika ini membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan air.

Beliau berkata, bagi memastikan aliran air lancar, pihaknya telah menyelenggara dan mencuci tali air bagi memastikan bekalan terus sampai ke petak sawah.

Katanya, antara kawasan yang sering berdepan kemarau ialah Kota Bharu utara, Kota Bharu selatan, Bachok dan Pasir Puteh.