Larikan diri ketika SJR undang risiko kemalangan: PDRM

Gambar kecil: Mat Kassim. Polis mengingatkan pengguna jalan raya agar tidak bertindak melarikan diri semasa pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) kerana ia mengundang risiko kemalangan. - Gambar hiasan
Gambar kecil: Mat Kassim. Polis mengingatkan pengguna jalan raya agar tidak bertindak melarikan diri semasa pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) kerana ia mengundang risiko kemalangan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengingatkan pengguna jalan raya agar tidak bertindak melarikan diri semasa pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) kerana ia mengundang risiko kemalangan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, tindakan sedemikian boleh mengundang risiko kemalangan kepada nyawa individu itu sendiri, pengguna jalan raya lain serta anggota pasukan penguatkuasaan yang bertugas.

Menurutnya, masih ramai yang mengambil jalan mudah dan terus bertindak melarikan diri dari sekatan.

"Pemeriksaan ini adalah untuk mengesan kesalahan dilakukan oleh pengguna jalan raya.

Rutin itu bukanlah merujuk kepada kes jenayah dan tidak ada keperluan untuk melarikan diri dari sekatan.

"Kita khuatir apabila mereka melarikan diri dari sekatan akan menempah risiko lebih besar sama ada dilanggar kenderaan lain atau merempuh anggota bertugas," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kemalangan membabitkan seorang anggota polis yang cedera akibat dirempuh motosikal ditunggangi seorang lelaki berusia 22 tahun ketika operasi 'snap check' di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan, Isnin lalu.

Kata beliau, penunggang terbabit boleh diambil tindakan mengikut Akta Polis 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas selain Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh bergantung kepada situasi kes," ujarnya.

Tambahnya, pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang dipatuhi dalam setiap sekatan jalan raya seperti meletakkan kon, papan tanda selain menggunakan wisel bagi menarik perhatian pengguna jalan raya supaya berhenti pada tempat ditetapkan.

Jelasnya, tindakan melarikan diri semasa pemeriksaan adalah satu kesalahan yang serius.